1Malaysia Negaraku

Pada bulan April 2009, iaitu ketika saya mula-mula memegang jawatan Perdana Menteri Malaysia, saya telah melancarkan inisiatif 1Malaysia yang telah diterima sepenuhnya oleh rakyat Malaysia, dan ikon 1Malaysia telah menjadi satu simbol yang paling dikenali di negara ini yang merangkumi prinsip berteraskan keterangkuman, kesatuan dan kebersamaan.

1Malaysia adalah konsep yang merangkumi idea perpaduan dalam kepelbagaian, ataupun unity in diversity, dan menekankan kepentingan perpaduan tanpa mengira bangsa, latar belakang atau kepercayaan agama demi kesejahteraan semua di masa hadapan. Konsep ini kekal relevan dan penting untuk dihayati seluruh rakyat Malaysia.

Terdapat lapan nilai aspirasi dan moral yang menghuraikan konsep 1Malaysia: budaya kecemerlangan, ketabahan, penerimaan, pendidikan, integriti, kebijaksanaan, kerendahan hati, dan kesetiaan.

Kesemua nilai-nilai ini penting dalam usaha kita membawa nilai tambah kepada Malaysia sebagai sebuah negara yang sedang membangun. Kesemua nilai ini bergantung antara satu sama lain untuk membentuk 1Malaysia. Ia telah dipupuk dalam jiwa rakyat Malaysia yang sejak sekian lama meliputi semua bangsa, bahasa dan agama. 

Pada 23 Ogos 2017 baru-baru ini, logo 1Malaysia telah diberi nafas baru dengan menggabungkan ikon 1Malaysia bersama ikon Negaraku. Ikon baru ini memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk menunjukkan taat setia atas dasar cintakan perpaduan yang harmoni seiring dengan Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2017.

Ikon 1Malaysia Negaraku ini adalah lambang kepada perkongsian nilai-nilai utama dan adat serta budaya ke arah kekuatan kepelbagaian rakyat Malaysia berlandaskan sejarah dan kebersamaan.

Marilah kita bersama-sama kekalkan keharmonian dan kesejahteraan yang selama ini dinikmati bukan sahaja oleh kita, malah oleh generasi sebelum kita, dan kita terus mewariskan semangat 1Malaysia Negaraku ini kepada generasi-generasi selepas kita.