banner-CM.jpg

March 6th, 2017

Di tengah-tengah padang, kelihatan 11 kanak-kanak dari Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (C) Yoke Nam berdiri janggal dalam formasi serangan. Tidak berapa jauh dari situ, jurulatih bola sepak, Azmeel Firdaus bersedia dengan wisel di tangannya.

“Bila saya tiup, awak lari ke depan,” arah Azmeel sambil melambai tangannya ke kedudukan di mana setiap pemain sepatutnya berada apabila mula membuat serangan dalam permainan.

Tapi sebaik saja wisel ditiupkan, pemain pertahanan yang sepatutnya berlari ke arah tiang gol, berlari ke belakang padang. Dia menyangka telah diarah untuk bertahan.

Masalah komunikasi ini antara cabaran yang dihadapi oleh pasukan bola sepak Yoke Nam yang bakal menyertai kejohanan bola sepak Majlis Sukan Sekolah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (MSSWPKL) dalam masa dua minggu lagi.

Azmeel tahu dia berdepan kesukaran. Yoke Nam tidak pernah mempunyai pasukan bola sepaknya sendiri; dia melatih pasukan yang tiada pengalaman untuk bertanding dengan nama-nama besar seperti Sekolah Sukan Bukit Jalil dan sekolah-sekolah lain yang telah berjaya melahirkan ramai bakat baru untuk negara.

“Kebanyakan daripada mereka baru mula bermain bola sepak setahun lalu. Jadi ini adalah satu cabaran besar buat saya untuk mengajar mereka bermain bola sepak dengan baik atau memahirkan diri mereka dengan kemahiran asas seperti taktik dan formasi,” jelasnya.

“Ini adalah kali pertama Yoke Nam akan bertanding dalam MSSWPKL. Sasaran pertama saya...biar mereka berasa seronok bermain bola sepak. Biarkan mereka merasai pengalaman bermain dalam kejohanan,” kata Azmeel lagi.

Memandangkan kejohanan ini didominasi oleh sekolah-sekolah kebangsaan yang majoritinya berbangsa Melayu, keputusan Yoke Nam untuk bermain dalam kejohanan tahun ini telah memeranjatkan ramai pihak.

Guru yang menguruskan pasukan ini, Puan Lim berkata, jawatankuasa pengurusan kejohanan sendiri terkejut dengan keputusan Yoke Nam untuk menyertai pertandingan ini.

“Mereka bertanya: Betul ke Yoke Nam ada pasukan bola sepak?” Ujarnya semasa berjumpa dengan jawatankuasa pengurusan bulan lalu.

“Saya kata ya dan kami memang ingin sertainya. Walaupun berulangkali saya memberitahu mereka, mereka masih tak percaya,” katanya sambil tersenyum.

Reaksi jawatankuasa itu bukanlah suatu perkara yang pelik. Sukan bola sepak seringkali dikaitkan sebagai sukan yang didominasi oleh bangsa Melayu. Walaupun mempunyai peminat dari pelbagai bangsa lain, namun terdapat pandangan bahawa ada penguasaan etnik dalam sukan tertentu.

Masyarakat Cina sentiasa dikaitkan dengan sukan bola keranjang dan badminton sementara anak-anak dari kaum India dan Sikh dikaitkan dengan sukan hoki.

Azmeel mengakui pada mulanya dia juga mempunyai tanggapan sama dan was-was untuk mengambil tugas melatih pasukan Yoke Nam.

Malah, dia khuatir mereka tidak mempunyai kemahiran yang diperlukan dan bimbang akan kesukaran berkomunikasi bersama anak-anak muridnya dari segi bahasa.

Ternyata, masalah komunikasi dengan kanak-kanak ini menjadi cabaran utama Azmeel memandangkan kebanyakan mereka berbahasa Mandarin sebagai bahasa utama. Halangan ini menjadikan ia sukar untuk melatih sebuah pasukan terutamanya bagi kanak-kanak ini yang langsung tiada pengalaman bermain bola sepak.

Bagaimanapun, mereka fasih berbahasa Inggeris. Tapi, ini pula pada mulanya sukar buat Azmeel kerana dia sendiri tidak fasih berbahasa Inggeris. Atas kesungguhannya, dia berusaha memperbaiki kemahiran bahasa Inggerisnya untuk melatih mereka.

Tambahan pula, anak-anak ini bermain sepenuh hati untuk mempelajari sukan bola sepak.

“Itu amat menyentuh hati saya,” kata Azmeel.

“Walaupun sedar mereka tidak mempunyai cukup kemahiran, tapi para pemain Yoke Nam ini amat bersemangat dan yakin untuk menyertai pertandingan itu. Malah, mereka percaya mereka boleh menjadi juara!”

“Saya tak peduli jika orang anggap ini sukan orang Melayu. Semua orang boleh main dan saya tak takut,” kata pemain tengah Victor Tan Jun Lim.

“Kami pasti menang,” katanya.

Victor dan rakan-rakannya berkata, mereka mendapat inspirasi dari filem Ola Bola untuk bermain bola sepak. Ia secara tak langsung menyakinkan mereka bahawa kaum Cina juga boleh bermain sukan ini jika benar-benar menginginkannya.

Kisah SJKC Yoke Nam ini sedikit sebanyak juga telah menyakinkan sekolah-sekolah Cina lain untuk menubuhkan pasukan bola sepak mereka sendiri. Sesuatu yang jarang didengari sebelum ini.

Bagi Azmeel, ini adalah langkah pertama untuk memecahkan stereotaip bagi sebuah sukan yang berjaya menyatupadukan seluruh rakyat Malaysia.  

“Ini pasti akan membuka mata lebih banyak sekolah Cina dan India lain. Malah, saya berharap lebih banyak sekolah-sekolah kebangsaan akan memilih pemain berketurunan Cina pula selepas ini,”

Kisah ini telah dipetik dan diolah dari Malay Mail Online.

Share in: