banner-CM.jpg

April 19th, 2017

Sepanjang bergelar anggota polis, beliau tidak pernah melepaskan sebutir peluru pun kepada penjenayah. Dan ini telah mendorong anak dan cucu mendiang Supritendan M.Govindasamy untuk mengikuti jejak langkahnya.

Sebaliknya, beliau mengubah modus operandinya kepada risikan untuk menangkap penjenayah. Malah, Govindasamy juga pernah menyamar sebagai penjual kacang putih serta memakai dhoti untuk memburu samseng. 

Tindakan dan tipu muslihatnya ini memberikan inspirasi kepada R.Mahesh Kumar, 29 yang dinaikkan pangkat sebagai Inspektor pada Februari lalu.

“Penjenayah pada tahun 60-an dan 70-an lebih kejam dan suka mencetuskan huru-hara. Jadi ayah saya mahu menjadikan negara ini lebih aman dengan mengurangkan kadar jenayah,” kata anak Govindasamy, Deputi Supritendan (Bersara) G. Rishya Sirungar, 67.

Tambah Rishya, ayahnya antara yang terlibat kepada penangkapan beberapa penjenayah yang paling dikehendaki seperti Geng Mini Cooper, Botak Chin dan Chai Jeat Wah.

Walaupun mendiang bekerja 18 jam sehari dan membuat operasi hampir setiap malam, tetapi beliau tetap tidak mahu bergantung kepada senjatanya.

“Mendiang ayah saya lebih kerap menggunakan khidmat Unit Anjing Pengesan untuk menangkap penjenayah. Dia sendiri pernah mengendalikan seekor anjing baka German Shepherd bernama Chiku. Malangnya Chiku mati sewaktu cuba menyelamatkan Govindasamy dalam kejadian tembak-menembak,” dedah Rishya.

Mahesh yang kini berkhidmat di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial berkata, meskipun seseorang itu berpakaian seragam polis, ia bukan 'lesen' untuk sewenang-wenangnya mengacu senjata kepada orang lain.

Menganggap datuk dan ayahnya sebagai wira 'Sang Saka Biru', Mahesh berjanji akan terus mewarisi nilai-nilai murni yang dipelajari daripada mereka.

“Mendiang datuk mengajar saya untuk kekal positif waktu bekerja. Seperti ayah, dia tidak mudah berputus asa dan sentiasa bersiap-siaga untuk berkhidmat kepada rakyat dan negara tercinta sehinggalah dia bersara,” kata Mahesh, yang juga seorang graduan mekatronik.

Share in: