banner-CM.jpg

April 25th, 2017

Perkara pertama yang dilakukan Ali Arami selepas melangsungkan perkahwinannya Sabtu lalu adalah dengan menghadiahkan angpau kepada sekolahnya. 

Walaupun tidak banyak, namun pemberian RM500 itu kepada Sekolah Tinggi Pay Fong memberi seribu satu makna sebagai tanda penghargaan beliau kepada sekolah berkenaan. 

Ali, 27, seorang pegawai bank dan isterinya, Rima Princess Dewi, 26 yang juga pernah belajar di sekolah jenis kebangsaan Cina, telah dilantik sebagai 'Duta Perpaduan' oleh sekolah vernakular itu.

“Pengalaman belajar di sekolah Cina menjadikan saya lebih ‘lengkap’ sebagai seorang rakyat Malaysia. Guru-guru mengajar saya untuk menghormati kaum lain dan lihat tiada beza antara kita. Saya terhutang budi kepada sekolah yang menjadikan saya seperti hari ini,” kata Ali yang menuntut di sekolah itu selama enam tahun. 

Ali menamatkan persekolahan pada 2008. Rima pula belajar di SMJK Yok Bin, Melaka. 

Antara tetamu istimewa di majlis perkahwinan mereka ialah pengetua, Ng Swee Lai dan beberapa guru Ali. 

Sementara itu, Ng memuji pasangan tersebut yang membantu inisiatif sekolah mempromosikan perpaduan. 

“Dia pernah datang ke sekolah untuk bermain bola keranjang dengan guru-guru sukan dan sentiasa berhubung dengan guru serta bekas rakan sekolahnya. 

“Ali juga ada menyumbang bantuan kewangan kepada sekolah, begitu juga isterinya,” kata Ng, yang dijemput naik ke atas pelamin untuk menerima angpau daripada pasangan tersebut. 

Kata Ng, dasar sekolah itu ialah membentuk pelajar untuk hidup dalam suasana harmoni dengan masyarakat pelbagai kaum dan Ali adalah salah satu cerita inspirasi mereka. 

Ali yang fasih bertutur bahasa Mandarin seterusnya belajar wushu di Sekolah Sukan Bukit Jalil dan menjadi pelakon aksi ngeri. 

Dia pernah muncul dalam beberapa filem aksi Melayu dan Hong Kong serta pernah menjadi pelakon lagak ngeri untuk pelakon antarabangsa, Aaron Kwok.

Share in: