Bekas Ustazah Ukir Kejayaan Di Belanda
22 March 2018

Keputusannya untuk menamatkan karier sebagai guru agama selepas 15 tahun mengajar, nyata tidak sia-sia.

Beralih kepada bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) akhirnya membawa tuah kepada Faridah Hamzah, 35 apabila dirinya menerima Anugerah Tulips daripada International University of Georgia, Belanda.

Anugerah itu merupakan pengiktirafan tahunan Kementerian Luar Negeri Belanda kepada individu yang memperjuangkan hak asasi manusia dengan cara yang inovatif dan ia diberikan kepada anak kelahiran Johor itu atas kejayaannya menghasilkan bahan rawatan sental tubuh berasaskan bahan semula jadi atau scrub.

“Sebenarnya saya sendiri tidak sangka produk dihasilkan ini berjaya menarik minat juri memandangkan 20 dari 80 rakan saya menuntut dalam jurusan sama iaitu Pentadbiran Perniagaan di universiti sama turut mengambil bahagian.

“Bagi saya harapan untuk menang anugerah ini tipis berikutan peserta lain lebih hebat dan berpengalaman dalam bidang perniagaan masing-masing,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Faridah, berbekalkan modal RM8,000 dia menjalankan aktiviti R&D selepas mendapati ramuan digunakan memberikan kesan positif dan mula merancang untuk mengkomersialkan produk tersebut.

Tambahnya, bahan rawatan sental tubuh semula jadi yang dihasilkan daripada daun azaradihcta indica iaitu daun semambu, bukan saja membantu merawat penyakit kulit malah turut mampu mencerahkan warna kulit.

Bagi memastikan produknya selamat digunakan, Faridah kini dalam proses mendapatkan sijil R&D yang dijangka selesai sepenuhnya menjelang hujung tahun ini.

“Saya berharap penghargaan yang diberikan ini dapat membakar semangat saya untuk terus bekerja keras bagi memperoleh lebih banyak pengiktirafan.”