Doktor Martabatkan Bahasa Melayu
8 Februari 2018

Bidang perubatan sering dikaitkan dengan istilah bahasa Inggeris yang sukar ditafsirkan ke bahasa Melayu. Atas sebab itu, ramai mengambil mudah dengan sekadar menukar ejaan istilah perubatan tertentu kepada bahasa Melayu tanpa menjelaskan maksud sebenar.

Berbeza dengan pensyarah dan doktor pakar perbidanan dan sakit puan dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Nik Hazlina Nik Hussain. Beliau merupakan doktor wanita yang telah memecah tembok paradigma penggunaan bahasa Melayu dalam bidang sains perubatan.

Sebagai pensyarah dan doktor perubatan yang bergelut dengan masa antara mengajar mahasiswa dengan merawat pesakit, Dr. Nik Hazlina tidak meletakkan kesibukan sebagai penghalang semangatnya untuk mengangkat martabat bahasa Melayu dengan kepakaran yang dimilikinya.

Beliau menghasilkan buku-buku perubatan dalam bahasa Melayu yang tepat dan mudah difahami oleh pembaca. Sempena Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan Sektor Pendidikan 2017 pada 26 Oktober tahun lalu, Dr. Nik Hazlina telah menerima Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu bagi tahun 2017.

Berkongsi pengalaman beliau, mengenai penulisan buku, artikel, dan jurnal dalam bahasa Melayu, Dr. Nik Hazlina memberitahu, pencetus inspirasinya ialah pesakit-pesakitnya.

“Merekalah yang menguja dan meningkatkan kesungguhan saya untuk menulis buku sains perubatan untuk bacaan umum dalam bahasa Melayu. Saya bermula dengan menulis catatan ringkas pada kertas tentang masalah dan rawatan pesakit setiap kali saya berjumpa dengan pesakit di hospital. Saya akan membawa kertas catatan itu setiap kali ada sesi perjumpaan dengan pesakit sehingga kertas itu hampir lunyai.

“Ketika itu, tiada buku yang boleh dibaca oleh masyarakat umum, khususnya pesakit saya untuk membantu mereka memahami masalah atau penyakit yang dihidapi,” katanya.

Ditanya sama ada beliau menghadapi kesukaran untuk mencari padanan bahasa Melayu bagi istilah bidang sains perubatan yang kebanyakannya dalam bahasa Inggeris, beliau mengakui pada peringkat awal proses menulis dalam bahasa Melayu memang agak sukar dilakukan.

Ini kerana apabila beliau menulis menggunakan bahasa Melayu, beliau perlu menterjemah istilah perubatan yang kebanyakannya dalam bahasa Inggeris. Kerjaya sebagai doktor pakar dan pensyarah pula memerlukan Dr. Nik Hazlina lebih banyak menggunakan bahasa Inggeris berbanding bahasa Melayu.

“Namun, apabila saya kerap menulis dalam bahasa Melayu, masalah itu tidak lagi susah, bak kata pepatah “alah bisa, tegal biasa”. Selain itu, berdasarkan pengalaman dan pencapaian yang diraih telah membuktikan bahawa bahasa Melayu boleh dijadikan bahasa pengajaran dan pembelajaran dalam bidang sains dan teknologi. Menyebarkan ilmu bidang sains dan teknologi menggunakan bahasa Melayu juga tidak merendahkan nilai dan kedudukan bidang tersebut,” katanya.

Tambah beliau, pengiktirafan yang diberikan kepadanya juga membuktikan bahawa bahasa Melayu boleh diketengahkan dan didaulatkan sebagai bahasa ilmu untuk bidang sains perubatan, dengan syarat ahli akademik harus memilih bahasa Melayu sebagai wahana penulisan dalam penyelidikan, penerbitan, pengajaran dan khidmat ikhtisas kepada masyarakat pelbagai bangsa dan peringkat umur.

Dr. Nik Hazlina mengakui ada kekangan masa untuk bidang penulisan. Pun begitu, berpegang kepada pepatah ‘hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih’, beliau yakin tiada orang yang berjaya dan menikmati kesenangan dengan mudah tanpa kesusahan dan kegagalan.

“Orang yang berjaya mempunyai masa yang sama dengan kita, iaitu 24 jam sehari bagi setiap seorang, maka kita harus mengkaji tindakan mereka yang membolehkan mereka memijak tangga kejayaan. Saya yakin pelaksanaan tugas secara sistematik dan cekap amat penting. Selesaikan tugasan hakiki terlebih dahulu. Segala tugasan perlulah diselesaikan mengikut prioriti.

“Selain itu, jadikan kerja kita sebagai hobi. Jatuh cintalah dengan kerja kita. Saya banyak menggunakan masa di rumah untuk menulis. Kalau perlu berjaga malam atau bangun awal-awal pagi untuk menulis. Saya akan lakukannya. Menulis merupakan hobi bagi saya dan ia menyeronokkan. Kalau melakukan tugasan luar, saya akan menyemak manuskrip atau menulis semasa di lapangan terbang, dalam kapal terbang atau semasa di bilik hotel. Menulis dah sebati dalam jiwa saya. Ia dapat memberi ketenangan diri,” katanya.