Guru OKU Semangat Tabur Bakti
2 Februari 2018

photo_2018-02-02_12-29-26_0.jpg

Apabila membayangkan tenaga pengajar untuk melatih orang kurang upaya (OKU), pasti kita terbayang guru normal yang petah berkata-kata.

Namun di Pusat Seri Mengasih, Kota Kinabalu, Sabah, seorang wanita yang cacat kedua-dua tangan dan kaki, Lee Fui Chen, 38, sudah 10 tahun menabur bakti menjadi tenaga pengajar bagi memberi latihan kepada individu sepertinya.

Lebih manis, Lee yang mesra dengan panggilan Cathy juga adalah bekas pelajar di pusat itu yang memberi kemudahan latihan secara intensif bagi mengajar OKU. Ia bertujuan memudahkan mereka dapat melakukan aktiviti harian secara berdikari, di samping mempersiapkan diri untuk menceburi bidang pekerjaan. 

Katanya, dia tidak pernah menganggap kekurangan diri sebagai halangan mengejar cita-cita untuk berjaya seperti insan lain.

Menurutnya, beliau bangga apabila dapat menabur bakti kepada rumah kebajikan berkenaan yang sudah dianggap sebagai rumah keduanya.

Anak sulung daripada lima beradik ini berkata, dia ditawarkan menjadi tenaga pengajar selepas hampir 15 tahun menerima latihan di pusat berkenaan.

“Saya menghargai pengiktirafan itu yang membuatkan saya tidak pernah berputus asa meneruskan kehidupan.

“Saya kuatkan hati dan yakin dengan kebolehan yang saya miliki dalam bidang menghasilkan kraf. Sedikit demi sedikit, masyarakat mula percaya dengan hasil tangan saya,” katanya ketika ditemui Harian Metro.

Wanita itu berkata, dia pernah menerima tempahan menghasilkan 1,000 kad kahwin dan beliau menyahut cabaran itu dengan bantuan empat pelajarnya yang juga OKU.

“Walaupun saya mengalami masalah dari segi pertuturan namun mereka dapat memahami arahan dan tunjuk ajar yang saya berikan,” katanya.

Menceritakan kisah hidupnya, Cathy berkata, dia menghidap demam kuning kronik sebaik dilahirkan.

Ia menyebabkan kerosakan pada saraf hingga mengalami kecacatan pada tangan dan kaki serta anggota badan lain.

“Bagaimanapun, saya sentiasa menganggap diri saya sempurna seperti individu lain.

“Saya tidak mahu membebankan orang lain,” katanya.

Wanita ini berkata, dia mahu berjaya seperti insan lain dan tidak mahu masyarakat memandang rendah dengan golongan OKU.

“Matlamat itu menyebabkan saya cekal mengharungi pelbagai cabaran dalam hidup,” katanya.

Tidak ramai yang tahu bahawa Cathy meraih pelbagai pengiktirafan termasuk daripada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM).

Malah, wanita itu berjaya mendaki hingga ke Laban Rata, Gunung Kinabalu dibantu oleh malim gunung pada 2001.

Biarpun tidak sampai ke puncak gunung berkenaan, pencapaiannya sangat membanggakan memandangkan dia kekurangan dari aspek fizikal berbanding pendaki lain.

Menurut Cathy, atas sokongan keluarga, guru dan rakan, dia juga mampu mengendalikan pelbagai program kemasyarakatan bagi menyedarkan mereka tentang peritnya kehidupan yang dialami OKU.

“Saya mahu masyarakat sedar bahawa OKU juga mempunyai perasaan seperti orang lain,” katanya.

Sementara itu, kerani Bahagian Latihan Dewasa Pusat Seri Mengasih, Irene Tioon berkata, Cathy adalah bekas pelajar pusat terbabit yang menjadi suri teladan kepada pelajar lain kerana kemahirannya dalam bidang kraf.

Malah katanya, Cathy juga cemerlang dalam bidang sukan apabila pernah mewakili negara bagi Pertandingan Boling OKU Peringkat Antarabangsa di Taiwan.

“Hasrat kami di sini bukan setakat membimbing mereka dalam melakukan aktiviti seharian, malah mampu mengajar mereka berdikari untuk kehidupan masa hadapan,” katanya.