banner-CM.jpg

Mei 4th, 2017

“Apa sahaja kecemasan berlaku, panggil bomba!”

Itu perkara pertama yang biasanya terlintas di fikiran kita setiap kali berlaku kemalangan, kebakaran, banjir, tanah runtuh, ancaman haiwan berbahaya dan sebagainya.

Dalam tempoh beberapa minit sahaja, kelibat anggota bomba lengkap berpakaian oren tiba di lokasi kecemasan.

Mereka sentiasa bersiap-siaga untuk satu tujuan iaitu menyelamatkan nyawa tidak kira manusia, haiwan mahupun harta benda.

Berpeluang membantu orang lain di saat mereka benar-benar memerlukan telah mendorong Jackson Wee Poh Kwang, 35 tahun, untuk menukar kerjaya daripada seorang ahli majlis daerah kepada anggota bomba.

Keputusan mengorbankan jawatan yang dipegang sejak 3 tahun itu tidak pernah dikesali oleh lelaki berketurunan Cina-Iban tersebut.

“Saya tidak pernah menyesal tukar kerjaya menjadi seorang anggota bomba. Selain minat yang mendalam, saya kini dapat menolong orang dengan cara dan kaedah yang betul supaya kesan kecederaan atau kerosakan harta benda berjaya dikurangkan.”

Jelasnya, meskipun ramai anggota bomba terdiri daripada bangsa Melayu, namun, ia tidak menjadi penghalang buatnya memberikan khidmat sama seperti mereka.

Malah menurut Jackson, pergaulan mesra dengan kaum lain di Balai Bomba dan Penyelamat Gombak Selatan memberi peluang kepadanya untuk menjadi seorang anggota bomba yang ‘buta warna kulit’ dalam melakukan operasi menyelamat.

“Tahun lepas, saya sesak nafas semata-mata ingin menyelamatkan orang kelainan upaya (OKU) yang tidak mahu diselamatkan dalam satu kes kebakaran. Memang mencabar. Jadi, saya terpaksa peluk dia dan pecahkan cermin untuk keluar dari bilik yang dipenuhi asap tebal,” kata Jackson.

Bagi Pegawai Bomba Kanan 1, Kannan Murugiah, pengalaman berkhidmat selama 30 tahun sebagai anggota bomba adalah peluang keemasan untuknya menabur bakti kepada masyarakat negara ini.

Beliau yang berusia 53 tahun dan berasal dari Taiping, Perak berkata, prinsip yang diamalkan dalam kerja-kerja menyelamat tidak pernah dibatasi oleh keturunan atau latar belakang mangsa.

“Kes paling menyayat hati dan masih segar di ingatan saya ialah kemalangan libatkan 10 kenderaan dan mengorbankan 15 nyawa termasuk 11 anggota Polis Simpanan Persekutuan (FRU) di Lebuhraya Karak.

Masa tu tahun 1990, tak ada peralatan canggih jadi kami terpaksa kerah tenaga pakai pam manual ‘hydraulic cutter’ untuk potong besi keluarkan ramai mangsa termasuk dua wanita Cina yang terperangkap di belakang bas

 terbabit,” jelas Kannan.

Seiring peredaran masa, Kannan yang kini bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Jalil berkata, tugas bomba semakin lama semakin di luar tugas konvensionalnya.

“Sekarang kes kaki tersangkut dalam lubang tandas, cincin tersekat di jari, terperangkap dalam lif, kren tumbang semua kami selamatkan.

Sebab itu masyarakat hari ini semakin menghargai dan memandang tinggi jasa bomba kerana mereka menganggap kami ‘wira yang tak didendang”.

 

Mengakui tidak ramai orang bukan Melayu termasuk kaum India berminat dengan kerjaya bomba, namun Kannan tetap berbangga melakukan pekerjaan murni itu.

Malah peluang bekerja  bersama  ramai anggota bomba berbangsa Melayu membuatkan dia sendiri semakin fasih berbahasa Melayu.

Sempena Hari Bomba Sedunia yang disambut pada 4 Mei setiap tahun, Kannan berharap lebih ramai belia India, Cina, Sikh dan lain-lain dapat menyertai pasukan tersebut pada masa akan datang.

Share in: