banner-CM.jpg

Mei 13th, 2017

Kasih ibu membawa ke syurga, kasih bapa sepanjang masa.

Kata orang, bergelar ibu kepada seorang 'anak istimewa' itu bukan mudah adalah suatu yang klise.

Namun hakikatnya melahirkan dan membesarkan anak yang dikategorikan sebagai orang kelainan upaya (OKU) sememangnya memerlukan ketabahan serta kekuatan yang luar biasa.

Meskipun menyedari si anak menghadapi masalah pembelajaran, namun ia tidak sedikit pun mengurangkan kasih sayang dan perhatian daripada seorang yang dipanggil ‘mak’.

Sebaliknya, Salmah Yatim, 59, menghadiahkan sepasang kasut sukan berwarna merah kepada anak lelaki bongsunya sebagai tanda sokongan beliau terhadap minat sukan yang membara dalam diri Abdul Latif Romly, sehingga berjaya menjadi atlet paralimpik pertama dinobat sebagai Olahragawan Kebangsaan 2016.

“Sejak kecil makcik tengok dia suka sangat masuk pertandingan lompat jauh dan lompat kijang di sekolah. 

Jadi makcik hadiahkan dia kasut sukan berharga RM60 saja masa umur dia 12 tahun.

Latif sayang sangat kasut tu, sampai koyak dan carik dia buat main sukan”, kata Salmah dalam nada sebak.

Pemenang pingat emas acara lompat jauh di Sukan Paralimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil itu menyifatkan ibunya sebagai tulang belakang kejayaan beliau.

“Mak tak pernah marah kalau saya tak belajar. Tapi dia marah kalau saya tinggal solat. Hadiah kasut sukan tu memang jadi pembakar semangat saya nak jadi atlet yang harumkan nama negara”, ujar Latif.

Bersyukur dikurniakan seorang ibu yang penyayang dan sabar dengan ‘kenakalannya’, Latif, 20, sempat berkongsi satu peristiwa menyedihkan yang berlaku di tempat kelahirannya, Kampung Paya Kelubi, Arau, Perlis.

“Saya bawa motosikal dan mak bonceng di belakang. Kemudian kami terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta. Saya rasa bersalah sangat masa tu sebab kecuaian saya, mak luka teruk di tangannya tapi saya tak cedera apa-apa”, cerita Latif.

Dek rasa bersalah, atlet paralimpik yang memecahkan tiga rekod dunia di Rio itu berhasrat untuk menebusnya suatu hari nanti.

Impian itu akhirnya terlaksana apabila pada usia muda, beliau sudah mampu untuk membawa ibu dan bapanya, Romly Mat, 64 serta seluruh ahli keluarga menunaikan umrah di Tanah Suci Mekah, hujung tahun lalu.

“Ia merupakan hadiah dan kenangan termanis dalam hidup saya. Insya-Allah jika ada rezeki, saya akan bawa mereka mengerjakan Haji pula”.

Salmah menganggap anak kesayangannya itu sebagai anak yang baik dan sentiasa menyejukkan hatinya.

“Syukur alhamdullilah, kami dapat buat umrah dengan Latif sekali. Sebab kalau dia tak ikut, makcik pun tak nak pergi”, kata Salmah sambil menitiskan air mata.

Ketika ini, Latif yang hanya boleh membaca pada umur 15 tahun sedang giat menjalani latihan di ibu negara.

Ia sebagai persediaannya memungut dan mempertahankan pingat emas dalam tiga pertandingan besar iaitu Kejohanan Dunia di London pada Julai, diikuti Sukan Sea Kuala Lumpur pada Ogos dan ASEAN Para Games, September nanti.

Share in: