Kecil Tapi Lincah dan Agresif
28 Januari 2018

photo_2018-01-28_13-47-33.jpg

Lincah dan agresif persis golongan dewasa walaupun hakikatnya, masih kecil. 

Riak wajahnya cukup serius dan fokus setiap kali melakukan 'trick' untuk melepasi halangan. Sekali-sekala, dia kelihatan geram dan marah kerana gagal membuat pendaratan yang baik.

Secara luarannya, Finn Nuriman Amri, 7, kelihatan seperti kanak-kanak lain tapi anak bongsu daripada dua beradik ini mampu membuat aksi menggunakan papan selaju atau skateboard seperti mereka yang lebih berusia daripadanya. 

Menurut bapanya, Nuriman Amri Abdul Manap, 40, Finn sudah di dedahkan dengan sukan skateboard sejak berusia setahun 10 bulan dan pandai melakukan trick ketika berusia dua tahun setengah.

"Pada peringkat awal, Finn bermula dengan pengenalan kepada skateboard iaitu mempelajari asas dan membiasakan diri dengan pergerakan badan.

"Umur dua tahun setengah dia dah mula meluncur dan umur tiga tahun dia dah kuasai pelbagai trick seperti ‘drop down’, ‘manual pad’, ‘tic tac up and down’," katanya ketika ditemubual Harian Metro. 

Malah pada usia enam tahun, Finn juga sudah pandai melakukan trick lain antaranya ‘pop-shuvit frontside and backside’, ‘ollie up and down’, ‘180 backside and frontside’ dan turun dari ketinggian lapan kaki, menurut Nuriman. 

Namun bak kata pepatah ‘ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.’

Nuriman sendiri bermain skateboard sejak berusia 12 tahun dan pernah menyertai serta memenangi beberapa pertandingan seperti tempat kedua Pertandingan Brotherhood Oldskool Skaters (BOS) tahun lalu.

Anak sulungnya, Ian, 11 juga merupakan juara Adrenaline Fest 2017 kategori terbuka selepas menewaskan peluncur yang lebih senior.

"Saya mula bermain skateboard sejak usia empat tahun. Sekarang ini saya dah boleh buat lebih 100 tricks.

"Memang setiap hari suka main skateboard, ada juga kawan-kawan di sekolah nak main, tetapi mereka tak ada papan (skateboard)," kata Ian.

Sementara itu, Finn yang juga murid tahun satu Sekolah Kebangsaan Tiara Permai, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur bercita-cita untuk menjadi askar.

"Dah besar nak jadi askar. Sekarang suka main skate. Cikgu dengan kawan-kawan kat sekolah tak tahu pun saya boleh main skate," katanya.

Sedar akan manfaat sukan ini sejak dari awal, Nuriman mahu anak-anaknya bergiat aktif dalam skateboard kerana sukan ini memerlukan masa untuk benar-benar mahir.

"Sekiranya menyertai pertandingan, pelbagai aspek di ambil kira termasuk melibatkan pergerakan badan sebab itu ia perlu bermula daripada awal.

"Sama juga seperti sukan gimnastik yang perlu dilatih sejak kecil supaya mereka kurang rasa takut apabila semakin meningkat dewasa.

"Apabila pergerakan itu sudah sebati dan sudah dikuasai, dia akan berasa yakin dan pergerakan akan berlaku secara spontan," katanya.