#LensaNegaraku: Faiz Dickie
26 Disember 2017

photo_2017-12-26_15-58-05.jpg

“Sewaktu pertemuan itu, kami meminta agar diberikan sedikit dana supaya dapat digunakan untuk melaksanakan projek #LensaNegaraku dan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak bersetuju untuk memberikan sedikit sumbangan.”

Nazrul Faiz atau lebih dikenali sebagai Faiz Dickie menceritakan kembali detik-detik awal penglibatannya dalam projek ini selepas pertemuan bersama Najib di sebuah kafe di Bangi.

“Ketika sesi itu, kami ada mengutarakan pendapat untuk mengetengahkan Malaysia melalui media sosial dan idea itu disambut baik oleh PM. Tidak lama kemudian, saya dihubungi oleh pihak penganjur untuk terlibat sama dalam program ini. Memandangkan ia merupakan satu inisiatif dengan tujuan murni, saya tidak teragak-agak untuk turut serta.”

Walaupun bergelar seorang ‘infuencer’ media sosial, bagi Faiz karyanya sedikit berbeza berbanding jurugambar lain yang menyertai #LensaNegaraku. Dia juga berharap mereka diberikan lebih banyak masa untuk berkongsi cerita menerusi kempen ini.   

“Saya bukan seorang jurugambar seperti rakan-rakan lain yang turut terlibat dalam program ini. Tapi sebagai seorang influencer, saya lebih kepada mencari cerita di sebalik gambar.

Dengan bantuan rakan-rakan, kami cuba untuk mencungkil kisah yang terbaik untuk dikongsikan bersama pengikut setia 1Malaysia. Sebagai contoh, saya ingin menulis kisah perniagaan mencuci baju tradisional India, Dhobi Ghat yang kini semakin dilupakan di Pulau Pinang.

Namun ketika saya tiba di lokasi, saya diberitahu bahawa aktivti itu hanya dilakukan seminggu sekali dan kami terlewat sehari. Jadi cerita itu tak dapat dikongsikan,” jelas Faiz. 

Walaupun begitu, dia tetap kagum dengan sikap rakyat Malaysia yang sangat peramah sepanjang pengalamannya ke Ipoh dan Pulau Pinang, menggunakan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) daripada Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

“Sepanjang seminggu kami melaksanakan tugasan ini, kami dapat berjumpa dengan masyarakat yang sangat peramah, sedia membantu dan suka tolong menolong. Ternyata hospitaliti rakyat Malaysia amat membanggakan. 

Selain itu, saya juga berpeluang untuk merasai makanan-makanan yang enak terutamanya ketika di Pulau Pinang.”

Faiz yang terkenal dengan rakaman video-video parodi menceritakan, videonya adalah berdasarkan pemerhatiannya mengenai ragam kehidupan masyarakat Malaysia.

“Justeru, program ini amat bersesuaian dengan saya kerana saya berpeluang untuk turun padang dan melihat sendiri kehidupan rakyat Malaysia walaupun menggunakan medium yang berbeza.”