#LensaNegaraku: Taufiq Nadzri
13 Disember 2017

Pemilik akaun Instagram @taufiqnadzri bukan calang-calang orangnya. Taufiq Nadzri adalah seorang jurugambar bebas dan juga jurugambar rasmi untuk sebuah syarikat rakaman antarabangsa dan kumpulan Bunkface.

Walaupun lebih dikenali dengan foto imej jalanan dan konsert selebriti, penampilan Taufiq dalam #LensaNegaraku nyata sesuatu di luar daripada zon selesanya. 

“Identiti fotografi saya berbeza tapi saya cuba untuk sampaikan gambar saya menerusi pandangan, sisi penceritaan dan tona warna yang sinonim dengan diri saya. Jadi ada sedikit persamaan dengan apa yang saya tampilkan untuk #LensaNegaraku.

Dato’ Seri Najib Razak ada memberi peluang kepada jurugambar Instagram untuk meneroka tempat-tempat berupa eko-pelancongan yang jarang dilawati rakyat Malaysia. Jadi, saya mengambil peluang itu untuk mengembara ke Taman Negara, Pahang bagi dikongsikan dengan pengikut Instagram @1Malaysia_Official.”

Taufiq memilih untuk ke Taman Negara bersama rakannya Roman Khromov daripada Rusia yang kebetulan berada di negara ini waktu itu. Baginya, pengembaraan mereka selama 4 hari dan 3 malam itu sangat mencabar kerana faktor cuaca yang tidak menentu selain terpaksa meredah hutan selama beberapa jam, atau menaiki bot menyusuri sungai untuk ke sesebuah kawasan. 

“Kami dapat teroka hutan hujan tropika yang dah berusia ratusan juta tahun dan berpeluang menemui tumbuhan-tumbuhan unik. Bahkan, saya juga diberi peluang untuk tinggal bersama Orang Asli yang masih mengamalkan cara hidup tradisional seperti menyumpit serta menyalakan api menggunakan bahan semulajadi. Pengalaman ini tak akan saya dapat di bandar!”

Bagaimana agaknya gelagat Taufiq bersama masyarakat Orang Asli semasa di Taman Negara? Ayuh kita nikmati keindahan hutan hujan tropika dan komuniti ini dari kaca matanya melalui #LensaNegaraku di www.instagram.com/1malaysia_official/