Luahan Hati Seorang #NegaraKru!
27 April 2018

 

 

Lebih 60 tahun merdeka, pelbagai siri kejayaan dilakar Malaysia di pentas antarabangsa.

Antara kejayaan signifikan dan menjadi kebanggaan setiap rakyat Malaysia serta sering meniti di bibir masyarakat dunia tentunya mengenai keharmonian dan perpaduan masyarakat majmuk di negara kita.

Malah, formula dan resepi rakyat Malaysia dalam mengekalkan kedamaian dan keamanan meskipun berbeza agama serta bangsa sering diintai dan dicari oleh pelbagai pihak luar negara.

Tahun ini, satu peristiwa bersejarah bakal berlangsung di negara kita di mana Pilihan Raya Umum ke-14 akan dilakukan pada 9 Mei ini.

Namun demi menyemarakkan bahang kehangatan kempen pilihan raya, ada pihak yang sanggup menggadaikan semangat perpaduan dan keharmonian rakyat demi mencapai cita-cita mereka meraih undi untuk jangka masa pendek.

Pelbagai penulisan dan video berunsur negatif disebarkan pihak tidak bertanggungjawab di media sosial hingga menyebabkan ruang digital itu dipenuhi kandungan palsu dan fitnah yang mampu mengundang perpecahan rakyat.

Masalah itu jika tidak dibendung, dikhuatiri akan menjadi barah yang sukar dirawat. Atas sebab itu kempen #NegaraKru digerakkan untuk meneutralkan ruang digital dengan kandungan yang lebih positif dan telus.

Kempen #NegaraKru akan memaparkan siri video perkongsian artis tempatan serta selebriti media sosial dalam menzahirkan rasa bangga dan harapan mereka untuk #HebatkanNegaraku demi Malaysia yang lebih gemilang.

Dalam siri video tersebut, rakyat turut diajak untuk menggunakan plaform media sosial dengan lebih bijak dan ke arah yang lebih positif dalam mempertahankan segala yang kita miliki pada hari ini.

Antara selebriti media sosial yang terlibat ialah Faiz Dickie dan Phoebe Shafinaz yang masing-masing meluahkan rasa bangga mereka bergelar seorang rakyat Malaysia.

Nak tahu apa yang dibanggakan mereka semua? Saksikan siri video #NegaraKru di saluran Youtube.

Ayuh, langgan dan kongsi video-video ini di laman sosial anda untuk sama-sama menyumbang kepada #HebatkanNegaraku!