PDRM Bertutur Bahasa Mandarin
8 Januari 2018

photo_2018-01-08_12-14-45.jpg

Pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) bukan berbangsa Cina digalakkan untuk belajar Mandarin memandangkan bahasa ini antara bahasa paling banyak dituturkan di seluruh dunia, menurut akhbar Sin Chew Daily.

Komandan Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuala Lumpur, DCP Dato' Yong Lei Choo berkata, pelbagai pelan telah dirancangkan untuk para pegawai mempelajari bahasa itu. 

Antaranya, mendirikan pusat bahasa yang menawarkan bahasa Mandarin serta bahasa-bahasa lain.

Katanya, ketika ini maktab itu menawarkan kursus 2 minggu untuk bahasa Mandarin bagi pegawai bukan berbangsa Cina mempelajari ayat-ayat perbualan harian seperti ucapan salam. 

Walaupun kursus ini tidak diwajibkan kepada mana-mana pegawai, namun mereka digalakkan untuk mempelajari bahasa Mandarin berikutan kepentingan bahasa ini.

DCP Yong berkata, pihaknya ingin memperluaskan kursus ini bagi meningkatkan kefasihan berbahasa di kalangan pegawai polis dalam usaha membantu pasukan itu lebih akrab dengan komuniti Cina. 

Malah, rancangan ini turut disokong oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun. 

Sebagai pegawai wanita pertama berbangsa Cina yang menjadi komandan maktab itu, DCP Yong juga berazam untuk melahirkan pegawai polis yang berilmu serta mampu bersaing di peringkat antarabangsa.