Salmi Abdul Mukti
8 March 2016

"Saya bermula sebagai seorang anggota pangkat bawahan sebelum dinaikkan pangkat sebagai seorang Pegawai Kanan Bomba 2 selepas 25 tahun bekerja. Dari bahagian pengurusan, saya kemudiannya beralih ke bahagian operasi, di mana saya kini bertanggungjawab sebagai seorang penyelia. 

Pada mulanya, arwah bapa tidak yakin dengan kebolehan saya mengikuti kursus dan menjalani latihan rekrut bomba. Sebagai anak bongsu, saya tidak pernah melakukan tugas-tugas berat sebelum itu, tetapi saya yakin dengan diri sendiri. Saya juga ingin menyahut cabaran kerana waktu itu bertugas sebagai anggota bomba wanita masih baru.

Sebagai kumpulan bomba wanita pertama direkrut pada tahun 1990 di Akademi Latihan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kuala Kubu Bharu, Selangor, saya sangat bangga menjadi sebahagian badan beruniform ini. Sewaktu direkrut, setiap anggota wanita menerima layanan sama rata dengan pegawai-pegawai lelaki tanpa sebarang diskriminasi.

Walaupun ramai menganggap kerjaya sebagai bomba adalah satu tugas sukar bagi wanita, tetapi untuk saya ia adalah satu tugasan mulia dengan berbakti kepada masyarakat. Sebaik sahaja terlibat sebagai seorang anggota badan beruniform kita harus bersedia menghadapi segala cabaran."

Salmi Abdul Mukti bertugas sebagai Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pantai sejak 5 tahun lalu. Beliau adalah contoh wanita kuat yang wajar dijadikan contoh oleh masyarakat untuk menyahut cabaran dalam apa juga bidang diambil. Kami amat mengagumi semangatnya!