banner-CM.jpg

Mei 17th, 2016

Pengalaman sepanjang menjadi seorang guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Sapagaya, Kinabatangan, Sabah merupakan salah satu pengalaman yang tak dapat saya lupakan. 

SK Sapagaya hanya mempunyai 24 orang murid dan 12 orang guru. Ia dikelaskan sebagai sekolah kategori pedalaman 1. 

 

 

Pertama kali ke sana, saya terpaksa menaiki kenderaan pacuan empat roda dan bermalam di kawasan yang tiada kemudahan air bersih, elektrik mahupun talian telefon. Amat berbeza dengan kehidupan di bandar. Kami banyak bergantung kepada air hujan dan terpaksa menggunakan 'generator' dari jam 5 petang hingga 10 malam saja. 

Namun, ia tidak sedikit pun mematahkan semangat saya untuk menjadi seorang guru kerana saya nekad untuk menjadikan anak-anak ini berjaya suatu masa nanti. Selama 4 tahun saya tinggal di sini, sekolah ini berjaya mendapat Anugerah Tawaran Baru Baiah 2 tahun berturut-turut.

 

 

Di sini, mereka melayan saya dengan baik sekali. Setiap keluarga dan anak-anak murid di sini amat menghormati guru. Mereka sangat lemah-lembut dan tidak pandai melawan cakap guru. Malah, mereka gemar menghantar makanan ke rumah.

Guru dilayan bagaikan orang kenamaan. Di majlis-majlis keraian, kami begitu dihormati sehinggakan tempat duduk diberikan kepada guru oleh masyarakat tempatan. Terasa diri saya begitu istimewa sekali!

 

 

Setiap kali mesyuarat PIBG, ada saja ibu bapa yang membawa masakan dari rumah untuk dikongsi bersama guru-guru di sekolah. Sepanjang 4 tahun bertugas sebagai guru di sana, tidak pernah sekalipun guru-guru dimarahi ibubapa, malah kami disanjung pula! Segan pula rasanya.

Tapi antara pengalaman paling tidak dapat dilupakan sebagai seorang guru di Kinabatangan ialah apabila pada suatu malam, salah seorang murid menumpang tidur di rumah saya. Tiba-tiba sahaja, dia berlari ketakutan ke bawah rumah seperti ternampak hantu. Rupa-rupanya, dia terkejut bunyi mesin membasuh baju. Dia sangkakan ada hantu dalam 'kotak' berkenaan kerana tidak pernah melihat sebuah mesin basuh. 

 

 

Di situ, saya belajar erti kesusahan dan bersyukur dengan segala kemudahan yang saya ada. Kalau di bandar, kita tidak pernah terfikir pun kesusahan orang lain seperti di pedalaman. Kita mungkin memandang enteng saja kesusahan mereka. 

Disebabkan pengalaman ini, ia membuatkan saya berkobar-kobar untuk terus menjadi seorang guru. Siapa sangka, masih ada lagi yang menghargai pengorbanan seorang guru.

Share in: