Tradisi dan Makanan Tahun Baru Cina
15 Februari 2018

Setiap kali menjelang Tahun Baru Cina, pasti ada tradisi dan makanan yang selalu dikaitkan dengan perayaan ini. 

Angpau
Berapa jumlah wang yang selalu diberikan dalam sekeping angpau? Boleh tak kalau kita berikan duit syiling berbanding wang kertas? 

Angpau yang diberikan dalam paket merah selalunya diberikan oleh pasangan yang telah berkahwin kepada orang tua dan kanak-kanak semasa perayaan ini sebagai tanda terima kasih atas segala rahmat yang diterima. Tak kisah berapa jumlah patut diberikan, asalkan bukan RM4 yang sinonim dengan kematian dalam kepercayaan Cina.

Yee Sang
Yee Sang selalunya dimakan beramai-ramai untuk ucapkan kemakmuran. Hidangan yang ada pelbagai ramuan dan perasa ini, menariknya, hanya popular di Malaysia dan Singapura.

Setiap ramuan ada makna tersendiri. Contohnya, ikan bermakna kekayaan berkekalan, lobak untuk tuah dan limau bali untuk kemewahan.

Makan malam besar
Seluruh keluarga akan berkumpul bersama pada malam sebelum Tahun Baru Cina. Ia simbol bagi mendoakan lebih banyak kebahagiaan dan kemakmuran buat setiap ahli keluarga.

Tarian singa
Berdasarkan kepercayaan kaum Cina, tarian singa bukan hanya sekadar untuk menghibur, sebaliknya ia dipercayai mampu membawa tuah dan rezeki pada masa akan datang. 

Limau mandarin
Limau mandarin atau dalam bahasa Cina membawa maksud “song kam”, yang bererti memberikan emas. Jadi, pemberian limau ini ibarat kita memberikan keuntungan kepada si penerima. 

Bak kua
Daging merupakan simbol kemewahan pada suatu masa dahulu. Menjelang Tahun Baru Cina, kepingan daging ini dijadikan ‘bak kua’ atau kepingan daging barbeku sebagai hidangan istimewa. Dalam bahasa Kantonis, kepingan daging ini juga digelar ‘long yoke’ yang membawa maksud memperolehi rezeki.

Snek
Kuih bangkit, tat nenas dan kuih kapit. Snek wajib sepanjang sambutan ini kerana ia melambangkan simbol kemewahan. Jadi jangan terkejut kalau ternampak kuih muih ini banyak dihidangkan di mana-mana rumah yang menyambut Tahun Baru Cina.