Angpau dan Tahun Baru Cina
18 February 2018

amplop-merah-kertas-angpao.jpg

Pemberian angpau begitu sinonim dalam kalangan masyarakat Cina, lebih-lebih lagi ketika sambutan Tahun Baru Cina.

Terdapat pelbagai versi kisah bermulanya pemberian angpau ini, tapi legenda mengatakan angpau diberikan sebagai pelindung daripada roh jahat dan simbol mendoakan kesejahteraan khas untuk kanak-kanak. 

Tak kurang juga yang menyebut angpau mula diberikan semasa Dinasti Sung di China. Sebuah kampung bergelar Chang-Chieu diserang roh jahat seperti naga. Tiada siapa yang dapat mengalahkannya kecuali seorang anak yatim yang mewarisi pedang sakti keluarganya. 

Kejayaan kanak-kanak itu mengalahkan naga menggembirakan seluruh penduduk kampung dan dia diberikan angpau berisi wang sebagai tanda terima kasih.

Walau apapun, simbolik pemberian angpau atau wang dalam sampul berwarna merah ini sangat dinanti-nantikan oleh kanak-kanak mahupun mereka yang masih belum berkahwin.

Jika di Malaysia, angpau biasanya diberikan oleh pasangan berkahwin kepada rakan yang masih bujang serta ahli keluarga mereka. 

Pemberian angpau ini merupakan simbolik untuk mendapatkan rahmat Tuhan.

Kebiasaannya, amaun angpau diberikan dalam jumlah genap. 

Sebagai contoh, jika ingin memberi RM6 perlu diberikan dalam bentuk 1 keping RM5 dan 1 keping RM1. 

Ataupun meletakkan dalam bentuk duit syiling berwarna emas sebagai simbol nasib yang baik dan tanda kemewahan. 

Menariknya kini, konsep pemberian angpau ini bukan saja dipraktikkan oleh orang Cina tapi turut diikuti masyarakat Melayu semasa Hari Raya Aidilfitri dan komuniti India semasa Deepavali. 

Gong Xi Fa Cai. Xin nian kuai le. Wan shi ru yi. Nian nian you yu!