banner-CM.jpg

October 3rd, 2017

Cekal dan kuat semangat. 

Walaupun menghadapi masalah penglihatan tapi hatinya celik menguruskan perniagaan. Itulah keistimewaan Arni Najihah Mea Abdullah, pemilik Berjaya Reflexology Centre di Kuantan, Pahang. 

Minat mendalam kepada bidang perniagaan mendorong ibu kepada tiga anak ini untuk menceburi bidang urutan refleksologi. Pengalaman mengendalikan perniagaan itu sejak 12 tahun lalu bersama suami, Hazizul Md Yusof, 40, yang mengalami masalah rabun teruk telah menjadikannya lali menempuh ‘asam garam’ perniagaan.

“Ketika memulakan perniagaan saya baru berumur 22 tahun. Hampir RM10,000 modal permulaan digunakan untuk memulakan perniagaan ini dengan bantuan suami yang merupakan seorang guru di Sekolah Pendidikan Khas dan juga sokongan keluarga,” katanya. 

Katanya pengalaman dua tahun pertama menjalankan perniagaan banyak memberikannya pengajaran. Antaranya mendapat duit palsu, dibayar separuh daripada caj perkhidmatan mahupun pelanggan melarikan diri. Tapi menurut penerima Anugerah Hari Orang Kurang Upaya Kebangsaan 2017 kategori Anugerah Majikan Prihatin Sektor Swasta ini, pengalaman itu menjadikannya lebih kuat dan kini mampu meraih pendapatan sekitar RM15,000 hingga RM18,000 sebulan.  

Selepas lima tahun beroperasi, perniagaannya semakin stabil dan turut mendapat bantuan Jabatan Tenaga Kerja untuk dikembangkan lagi. Malah Puan Arni kini mempunyai 8 pekerja Orang Kelainan Upaya (OKU) yang terdiri daripada belia berusia antara 21 hingga 30 tahun serta mahir dalam urutan kaki dan badan. Lebih menarik, para pekerjanya juga mendapat latihan di Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia, (MAB) Brickfields dan turut diberi elaun bulanan RM350 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Share in: