banner-CM.jpg

March 1st, 2017

Keadaan diri yang separuh buta tidak pernah mematahkan semangat Chew Sui Teng, 21, untuk berusaha keras hingga mencapai keputusan cemerlang dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Chew yang merupakan murid berkeperluan khas masalah penglihatan, memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.84 dan berhasrat meneruskan pengajian dalam bidang pendidikan khas agar dapat menjadi guru bagi membantu golongan istimewa seperti dirinya.

"Saya tidak mahu belajar di luar negara, saya sayang Malaysia dan mahu belajar dalam negara sahaja dan kembali berbakti pada masa depan sebagai cikgu pendidikan khas," katanya kepada pemberita di Sekolah Menengah Kebangsaan (Perempuan) St. George di sini, Selasa.

Chew yang mempunyai masalah penglihatan serius sejak kecil berkata pencapaian yang diperolehinya hari ini sangat tidak dijangka kerana proses pembelajaran seorang murid berkeperluan khas sepertinya sangat rumit.

"Saya pernah rasa putus asa, rasa tak mahu teruskan (belajar), tapi saya pujuk diri sendiri dan cuba bangun untuk buat yang terbaik," katanya yang merupakan anak kepada seorang pemandu lori dan suri rumah.

Chew mengambil empat subjek iaitu Pengajian Am (A-), Sejarah (A), Ekonomi (A) dan Pengajian Perniagaan (A-).

Anak bongsu daripada dua beradik itu berkata mempunyai minat membaca juga adalah masalah kepadanya kerana amat sukar untuk mendapatkan buku bertulisan braille di pasaran tempatan.

Bagaimanapun, katanya, dia bertuah kerana mempunyai keluarga, rakan-rakan dan guru-guru prihatin yang sering membantu membacakan buku-buku untuknya.

"Kadang-kadang saya guna pengimbas, tapi memerlukan banyak suntingan sebab sering ada kesalahan," katanya.

Bagi menyiapkan kerja kursus dan kerja rumah, Chew menggunakan komputer riba biasa dengan kaedah menghafal papan kekunci selain dibantu perisian yang mempunyai suara.

Chew berkata kaedah itu lebih mudah berbanding braille namun dalam peperiksaan awam, semua calon diwajibkan menjawab soalan menggunakan tulisan braille.

Pelajar itu sebelum ini turut mencapai keputusan cemerlang dalam Penilaian Menengah Rendah (6A, 1B) dan Sijil Pelajaran Malaysia (7A, 1B).

Share in: