Cikgu Perdana Menteri dan Negara
23 May 2017

Pada zaman 1970-an, setiap kali ke ‘Bilik Pandang Dengar’ di sekolah, ia pasti menjadi antara aktiviti ditunggu-tunggu oleh pelajar. Waktu itu bermakna mereka berpeluang menonton saluran TV Pendidikan yang disiarkan di kaca televisyen dalam hitam putih.

Pelbagai rancangan menarik diterbitkan mengikut subjek Bahasa Malaysia, Matematik, Inggeris dan Sivik. Antaranya, rancangan ‘Bing and Bong’ yang memaparkan watak dua badut lucu mengajar penonton berbahasa Inggeris. 

Tanpa kita sedari, subjek-subjek ini ditayangkan dalam bentuk audio visual bagi membantu pelajar luar bandar memahami dan mempelajarinya dengan lebih mudah. Bagi menjayakannya, seorang guru yang langsung tiada pengalaman dalam bidang penyiaran mengambil keputusan menyahut cabaran menjadi penerbit TV.'

Zabedah Mohd Noor, 78, guru Bahasa Malaysia di St John’s Institution Kuala Lumpur rela mengorbankan  jawatannya sebagai pendidik selama 10 tahun untuk menjalani kursus penyiaran TV di London, United Kingdom selama lima bulan.

“Pada 1973, saya terpilih menjalani kursus penyiaran bersama tiga rakan lain. Kami belajar cara mengendalikan kamera, audio, grafik sehingga ke proses suntingan. Semua itu perkara baru dan sangat asing bagi diri saya,” katanya.

“Kalau mengajar di sekolah, hanya murid-murid di kelas saya sahaja mendapat ilmu yang dicurahkan tetapi dengan menjadi penerbit TV, semua kanak-kanak seluruh negara terutama di luar bandar dapat belajar melalui rancangan terbitan saya,” kata Zabedah.

Tambah Zabedah yang pernah menjadi guru kepada Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Tun Razak, berkorban masa bersama keluarga adalah antara cabaran yang perlu dihadapi beliau sepanjang bergelar penerbit TV selama 21 tahun.

“Bayangkanlah sebuah rancangan berdurasi 20 minit memerlukan tempoh sehingga 2 bulan untuk menyiapkannya. Kamera dan peralatan penggambaran dahulu tidak secanggih hari ini, semua perlu dibuat secara manual. Sebab itu, masa saya bersama keluarga adalah sangat terhad.”

Namun bagi Zabedah, tiada kejayaan yang lebih manis apabila melihat hasil usahanya mampu membantu guru-guru di sekolah mendapatkan perhatian pelajar dan menyemai rasa cintakan ilmu dalam diri setiap murid hingga mereka menjadi seorang individu yang cemerlang dalam pelajaran.

“Dengan adanya siaran TV Pendidikan, kami dapat membantu cikgu yang kadangkala berdepan dengan karenah murid yang cepat bosan. Jadi mereka buka sahaja TV, apabila pelajar sudah ceria dan gembira, lebih mudah untuk guru mula mengajar.”

Pada 1982, rancangan Matematik dan Sains di TV Pendidikan berjaya dinobat sebagai program pendidikan terbaik dalam sebuah pertandingan di Tokyo, Jepun.