Dato' Lat: Belajar Perpaduan Dari Kecil
20 September 2016

Tidak susah untuk menjadi satu generasi yang bersatu padu. Ianya perlu bermula dari peringkat awal. Sejak kecil lagi saya agak rapat dengan rakan-rakan pelbagai bangsa yang lain.

Semuanya bermula sewaktu saya berusia antara 7 hingga 10 tahun dan saya mula belajar bergaul serta mengenali budaya kaum lain. Disebabkan pekerjaan ayah sebagai seorang kerani askar, kami kerap berpindah-randah. Dari situ, saya kerap bertemu masyarakat Cina dan India yang fasih bercakap Bahasa Melayu. 

Mula-mula, saya berasa agak pelik. Kemudian mak jelaskan, kalau bercakap bahasa masing-masing, mana mungkin kami boleh berbual. Contohnya, kalau cakap Bahasa Cina kepada bukan berbangsa Cina, pasti susah nak faham. Jadi, kita gunakan bahasa Melayu kerana ia paling senang difahami. Erti kata lain, Bahasa Melayu digunakan sebagai lingua franca atau bahasa perantara. 

Kemudian apabila menjadi seorang remaja, perasaan ingin memahami perbezaan bangsa tu semakin tinggi. Jadi, saya sering berada di rumah kawan-kawan bangsa lain untuk belajar dan bermain bersama mereka. 

Daripada sukan, muzik, filem dan rancangan televisyen, minat kami semuanya berbeza. Malah minat kami terhadap buku dan bahan sastera juga berlainan. Jadi, saya ambil kesempatan ini untuk bertukar-tukar buku bersama mereka untuk mempelajari dan mengenali dengan lebih baik persahabatan kami. 

Pada saya, melalui persefahaman dan mengenali antara satu sama lain dari peringkat awal melalui persahabatan boleh mengajar seseorang mencintai budaya perpaduan di Malaysia. Anak-anak kecil ini mungkin tidak faham sekarang tapi satu hari nanti, mereka pasti akan teruja dengan kepelbagaian budaya kita. Dan akan tertanamlah semangat untuk memupuk persefahaman antara mereka sehingga tua.