Gadis Melayu Pelajari Tarian Singa, Tinggi Cita-Citanya
16 February 2017

Dari satu tiang ke tiang lain sambil membawa kepala singa seberat 5kg, beliau melompat dan berpusing di atas tiang itu. Siti Aishah, 11, kelihatan tidak punyai sebarang masalah melakukan aksi-aksi dalam tarian singa.

Usianya mungkin muda. Tetapi, beliau merupakan salah seorang anggota tarian singa Persatuan Sukan & Kebudayaan Meihu Pulau Pinang. Beliau yang menuntut di SJKC Pei Ying di Gertak Sanggul, Pulau Pinang, juga fasih berbahasa Mandarin. Pada usia 6 tahun, Siti melihat abangnya mengambil bahagian dalam pertandingan tarian singa dan menyukainya. Maka tercetus idea untuk beliau mempelajari tarian singa dan mengikut jejak langkah abangnya menyertai pasukan itu.

Pada awalnya beliau hanya mempelajari cara memukul gong untuk pasukan tarian singa berkenaan. Namun sejak setahun lalu, Siti dan seorang lagi gadis bersama-sama mempelajari pergerakan kepala singa serta lompatan di atas tiang.

Walaupun masih menuntut di sekolah rendah, Siti berbakat dalam tarian singa. Sambil memegang kepala singa itu, beliau mampu melompat di atas tiang mengikut rentak pukulan dram dengan penuh keyakinan. Aksi melompat dan memutarkan badannya di atas tiang kelihatan mudah untuk beliau.

Siti telah banyak mengambil bahagian dalam persembahan tarian singa. Pada Tahun Baru Cina lalu, beliau telah membuat persembahan di sambutan Tahun Baru Cina di Nagore Square dan hari kelahiran Maharaja Jed di Jeti Chew.

Ketika ini, beliau hanya berlatih sebanyak empat kali seminggu. Ayahnya akan menghantar beliau ke pusat latihan. Kadang-kala, penolong jurulatih juga akan menumpangkannya. Selain beliau dan abangnya, adik-adik Siti turut menganggotai pasukan tarian singa itu.

Dalam satu temubual bersama China Press, katanya agak sukar untuk memikul kepala singa itu. Beliau juga terpaksa mempelajari banyak aksi melompat di atas tiang. Namun kerana minat, Siti tetap tabah.

“Suatu hari, saya akan mewakili pasukan tarian singa ini membuat persembahan di tiang-tiang yang tinggi. Buat masa ini bahagian yang paling sukar dalam tarian singa ialah berdiri di atas paha anggota pasukan di bahagian ekor singa itu. Saya perlu berlatih lebih banyak lagi.”

Siti Aishah, abang dan adik-adiknya mencerminkan perpaduan dalam masyarakat berbilang kaum seperti yang ditekankan dalam konsep 1Malaysia.