Gadis Minyak
20 December 2017

photo_2017-12-20_15-28-33.jpg

Jarang kita mendengar atau melihat seorang wanita bekerja sebagai mekanik di bengkel kereta yang biasanya didominasi kaum lelaki. 

Ekoran persepsi masyarakat yang sering menganggap wanita tiada pengetahuan dan kemahiran mendalam mengenai kereta, Nur 'Izzah 'Atiqah Ahmad, 25, nekad untuk mengubah stigma itu!

Wanita muda ini akhirnya memilih untuk menjalani Latihan Mekatronik Automotif, Juruteknik Penyelenggaraan Berkelayakan dan Sijil Kemahiran MARA Tahap 3 bersama jenama kereta terkenal, Mercedes-Benz.

Baginya bergelumang dengan minyak enjin dan kotoran itu bukan sesuatu yang menjijikkan, sebaliknya dia menganggap ia suatu yang menyeronokkkan.

“Saya rasa bangga dan gembira kerana mampu menyelesaikan masalah pelanggan. Justeru, tiada beza lelaki atau perempuan kerana kita semua boleh melakukan perkara yang sama.

"Cuma yang membezakan hanya dari segi kudrat dan tenaga, wanita memerlukan dua kali ganda daripada lelaki. Itu adalah lumrah, tetapi jika sudah minat, ia tidak menjadi halangan," katanya. 

Nur 'Izzah 'Atiqah berkata beliau tercabar apabila ayah dan adik lelakinya berpendapat wanita tidak mempunyai sebarang kepakaran untuk memperbaiki kenderaan.

"Arwah ayah pernah menyuarakan ingin melihat saya berjaya dalam bidang perubatan. Tapi, saya lebih cenderung kepada bidang automotif. Alhamdullilah, arwah ayah tidak pernah menghalang dan sentiasa menyokong saya.

Saya jelaskan padanya bahawa konsep kerja mekanik kereta juga sama seperti seorang doktor. Cuma bezanya, mekanik 'bedah' kereta dan doktor membedah badan manusia. 

Saya masih ingat, ketika belajar buka tayar Mercedes-Benz, saya terjatuh sebab ia terlalu berat dan besar. Kawan-kawan lelaki hanya tengok saja masa tu. Lepas saya belajar teknik yang betul untuk angkat tayar tersebut rupanya senang saja," jelasnya.

Kini, Nur 'Izzah 'Atiqah menjadi satu-satunya wanita yang bertugas sebagai juruteknik bengkel untuk kenderaan mewah, di Cycle & Carriage Bintang Berhad.

Malah, beliau sekarang sedang menjalani kursus untuk menjadi seorang juruteknik diagnosis berkelayakan selepas tiga tahun bekerja dengan jenama antarabangsa itu.