Gemuruh Sorakan Malaysia
29 August 2017

Ayuh Malaysia! Malaysia Boleh!

Jika anda pernah hadir dan saksikan sendiri temasya sukan bertaraf antarabangsa, pasti anda dapat rasakan semangat para penyokong yang datang demi atlet negara.

Tak kurang juga ada yang tiba dan berkobar-kobar menzahirkan sokongan mereka dengan paluan kompang, pukulan dram dan tiupan wisel.

Bagi Zarina Md Ismail, 44, dari Sandakan, Sabah, kehadiran kelab-kelab peminat serta penyokong ini antara penyumbang kepada keyakinan atlet yang bertanding.

“Kita ada ramai atlet yang bertanding di peringkat antarabangsa. Tapi apa yang boleh kita lakukan sebagai rakyat Malaysia untuk pastikan Malaysia menang? Mudah. Hanya datang dan berikan sokongan penuh kepada mereka. 

Zarina Md Ismail, Penolong Pengurus Besar Pemasaran Sukan Telekom Berhad

Tak kira apa juga jawatan, keadaan, umur atau bangsa kita, apa yang dapat saya lihat adalah kita sentiasa bersatu setiap kali menjelang sesuatu sukan antarabangsa. Sama-sama bersatu menyokong atlet negara.”

Kelvin Sharman (kiri) dan Gan Hon Keat (kanan) antara penyokong tegar sukan tanah air

Malah Kelvin Shaman, 31, dari Seremban, Negeri Sembilan pula menganggap penglibatannya menyertai kelab penyokong sejak tiga tahun lalu hanyalah serba sedikit sumbangan yang dapat dilakukan buat negara. 

Katanya peluang menyaksikan Sukan Olimpik Rio 2016 di Brazil telah membuka mata beliau tentang betapa pentingnya peranan sebagai seorang penyokong.

“Waktu itu, saya ke sana bersama empat rakan-rakan yang lain. Kami tak pasti sama ada terdapat penyokong Malaysia lain. Jadi, apa yang kami lakukan adalah menyarungkan jersi kelab kami dan mula mengibarkan bendera Malaysia. 

Tak lama kemudian, sekitar 20 hingga 30 orang rakyat Malaysia mula menegur kumpulan kami. Siapa sangka, walaupun kami berada 20,000 batu jauh dari Malaysia, kami berjaya membawa peminat-peminat sukan negara berkumpul bersama untuk nyatakan sokongan kepada atlet kita di sana.

Kami datang dari latar belakang yang berbeza – antaranya dari industri perbankan, telekomunikasi, mahupun graduan universiti, tapi kami tetap bersemangat melahirkan sokongan buat mereka tak kira jantina, warna, bangsa, umur, kaya atau miskin.”

Malah katanya, ia lebih seronok dan mengujakan apabila ada pegawai-pegawai sukan atau menteri yang sudi meluangkan masa bersama mereka, memberikan laungan semangat kepada atlet untuk berusaha sedaya upaya mengharumkan nama negara. 

Dalam pada itu, Gan Hon Keat, pelajar tahun pertama Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL) di Universiti Putra Malaysia menyifatkan kehadiran penyokong membuatkan atlet lebih bersemangat dan yakin untuk bertanding. 

Beliau yang baru pertama kali menyertai kelab peminat ‘Team Malaysia’ sedar setiap peminat memainkan peranan penting.

“Ada yang menganggap kehadiran penyokong ini tak membawa kesan besar. Tapi kehadiran kita pun dah cukup sebenarnya untuk membakar semangat atlet.

Apabila atlet negara berjaya menjuarai pertandingan itu, pengalaman dapat bersama-sama berdiri menyanyikan lagu Negaraku membuatkan saya turut sama berbangga sebagai rakyat Malaysia. 

Baginya, walaupun tak banyak dapat dilakukan oleh seseorang penyokong tapi dengan adanya masyarakat pelbagai bangsa berkumpul di satu-satu tempat, ia sekaligus membuktikan betapa kuatnya perpaduan di antara kita semua.