Istimewa Hari Gawai: Kisah Cinta Bumi Kenyalang
31 May 2017

Meskipun dilahirkan dalam sebuah perkahwinan campur, namun gadis manis ini cukup berbangga untuk bergelar seorang anak watan negeri Sarawak.

Alena Lipang Ose Murang, 28, pemain alat muzik tradisional sape mengakui dia lebih menyenangi kehidupan di Sarawak kerana kepelbagaian etnik penduduknya serta kaya dengan adat, seni dan budaya yang sebati dalam dirinya.

Walaupun ibunya berbangsa Inggeris namun Alena lebih senang membawakan jati diri anak Bumi Kenyalang, sama seperti bapanya yang berketurunan Kelabit.

Keluarga Alena antara lebih 6,600 kaum Kelabit yang juga merupakan golongan etnik terkecil di Sarawak.

Justeru, tidak hairanlah anak bongsu daripada dua beradik ini sering ternanti-nantikan ketibaan 1 Jun setiap tahun untuk sama-sama meraikan Pesta Menuai bersama sanak saudara dan rakan-rakannya.

 “Semasa kami sekeluarga duduk di Kuching, saya akan pergi ke kampung Iban atau Bidayuh untuk meraikan Hari Gawai Dayak bersama-sama. Saya masih ingat sewaktu saya berumur 10 tahun, kami sekeluarga  mendaki sebuah gunung di luar bandar Kuching dan tiba di sebuah kampung Bidayuh, didiami kawan mak saya. Mereka melakukan upacara tradisi di "baruk" (rumah panjang), bermain gendang sepanjang malam dan memburu haiwan untuk dimakan,” kata Alena.

Bagi Alena, Hari Gawai merupakan satu-satunya pesta yang dikongsi dan dapat menyatupadukan masyarakat peribumi Sarawak yang terdiri daripada lebih 40 subetnik.

“Ada beberapa tradisi Hari Gawai yang dianggap pantang dalam budaya masyarakat lain seperti ritual kerohanian dan pemberian makanan dan minuman.

Walau bagaimanapun, saya rasa sambutan ini penting untuk menyatupadukan rakyat Malaysia pelbagai kaum kerana apabila kita faham, peka dan bersikap terbuka untuk menerima perbezaan setiap orang, barulah keamanan dan kecintaan itu dapat diwujudkan.”

Malah, menurutnya sambutan itu juga memberi peluang kepada anak-anak Sarawak yang merantau jauh untuk pulang ke rumah panjang bagi meneruskan ‘ngabang’ iaitu amalan kunjung-mengunjung, selain menghidupkan kembali nostalgia semasa musim menuai padi.

Bagi Pengarah Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Madeline Berma, 56, semasa sambutan Hari Gawai menu tradisi seperti ‘manok pansuh’ (ayam dimasak dalam buluh seperti lemang) boleh disesuaikan menjadi satu hidangan perpaduan untuk dinikmati oleh seluruh rakyat Malaysia.

Katanya, jika di Sarawak makanan tradisional itu banyak dihidang pada acara Rumah Terbuka Hari Gawai anjuran kerajaan negeri dan hotel-hotel, maka ia juga tidak mustahil boleh diperkenalkan di Semenanjung Malaysia.

“Di Johor Bahru sahaja, lebih 30,000 rakyat Dayak menetap di negeri itu dan juadah istimewa ini boleh dimasak secara halal demi perpaduan kerana Hari Gawai juga sebenarnya adalah sebuah perayaan kebudayaan dan bukan berunsur keagamaan,” jelas Dr Madeline.

Katanya, masyarakat Dayak juga kebanyakan mempunyai ahli keluarga atau saudara-mara beragama Islam dan bagi menghormati sensitiviti mereka, makanan yang dijamin halal dihidangkan buat tetamu. 

Biar siapa sahaja yang kita temui di bumi Malaysia ketika sambutan Gawai ini, ucapkanlah "Gayu Guru Gerai Nyamai" yang bermaksud "Selamat sejahtera, semoga panjang umur dan sihat selalu".