banner-CM.jpg

May 17th, 2016

Sebagai seorang yang berasal dari Ipoh, Perak, saya telah biasa dengan kehidupan di bandar. Sebaik tamat sekolah, saya melanjutkan pengajian di Kuala Lumpur sebelum dihantar ke luar negara. Tetapi saya langsung tidak menyangka bakal dihantar ke kawasan yang jauh dari zon selesa saya. 

Pertama kali dikehendaki melaporkan diri di Sekolah Kebangsaan Kampung Shukor di Dungun, Terengganu, saya agak terkejut. Perjalanannya memaksa saya melalui beberapa kawasan kampung dan hutan untuk tiba ke sekolah ini. Kedudukannya yang terletak berdekatan kawasan hutan simpan agak asing bagi saya yang berasal dari bandar. 

Di sini, para pelajar amat bersemangat ke sekolah. Kesungguhan mereka untuk belajar terutamanya mata pelajaran Bahasa Inggeris amat mengagumkan. Sememangnya ia suatu cabaran untuk mengajar di sekolah luar bandar, tapi kegigihan mereka untuk belajar amat berbeza berbanding pelajar lain di bandar. 

 

 

Saya diberitahu, mereka langsung tidak tahu bercakap bahasa Inggeris sebelum ini. Tapi mereka tidak segan untuk berlatih. Sebaliknya, mereka cuba menjadikannya satu kebiasaan untuk berbual dalam bahasa itu pada bila-bila masa. 

Jika sebelum ini, mereka langsung tidak berminat atau bersemangat untuk memasuki sebarang  pertandingan bercerita atau membaca sajak dalam Bahasa Inggeris. Mereka berasa takut untuk berdepan dengan sekolah-sekolah lain. 

 

 

Tapi saya percaya, mereka ini berbakat dan boleh diasuh. Kini, mereka berjaya bertanding sehingga ke peringkat daerah selepas mendapat galakan dan tunjuk ajar daripada kami guru-guru. Mereka seronok dan semakin yakin dengan diri masing-masing. Sekarang, mereka pasti tidak sabar untuk bertanding setiap tahun. 

Mungkin bagi sesetengah orang, kejayaan mereka ini tidak seberapa. Tapi bagi saya, itulah satu kepuasan dan kegembiraan seorang guru. Melihat anak-anak ini berjaya menguasai apa dipelajari adalah satu pencapaian. Inilah sebabnya saya terus memilih untuk menjadi seorang guru. 

Share in: