OKU terima Anugerah Pingat Emas Canselor
4 December 2017

SINTOK: Status sebagai orang kelainan upaya (OKU) penglihatan, tidak menjadi penghalang buat Harziah Khalid Yunus untuk menerima Anugerah Pingat Emas Canselor pada Majlis Konvokesyen Universiti Utara Malaysia (UUM) Ke-30, hari ini.

Lebih menarik, gadis berusia 26 tahun ini yang pernah tercicir dalam pelajaran selama tiga tahun ketika di sekolah rendah, turut berjaya menamatkan pengajian dalam Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan, setahun lebih awal.

Harziah yang berasal dari Ketiau Putatan, Kota Kinabalu, Sabah, berkata beliau tidak menyangka memperoleh antara tiga anugerah utama pada konvoksyen kali ini.

"Saya betul-betul memulakan pelajaran semasa sekolah rendah ketika berusia 10 tahun. Ketika berusia tujuh tahun, saya tidak tahu apa-apa.. setiap kali ujian saya hanya dapat kosong.

"Saya hanya duduk dan tidak berbuat apa-apa seperti orang bodoh..hanya selepas tiga tahun baru saya masuk ke sekolah semula," katanya ketika ditemui.

Ditanya resipi kejayaannya, Harziah yang kini bekerja di Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, berkata beliau kerap bertanya jika tidak memahami mengenai sesuatu perkara.

"Bahan pengajian bagi insan seperti saya terhad, jadi saya perlu bertanya tidak kira sama ada pensyarah mahu pun rakan bagi meningkatkan pengetahuan saya," katanya.

Sementara itu, ibu Harziah, Norjibah Majid, 51, berkata, beliau pada mulanya bimbang dengan keadaan anaknya di universiti berikutan jarak mereka yang jauh.

"Saya hanya mampu berdoa supaya segala urusannya di universiti dipermudahkan, selain rakan dapat membantunya.

"Daripada lima adik-beradik, setakat ini hanya dia sahaja yang berjaya memasuki universiti dan saya bersyukur dengan kejayaannya pada hari ini," katanya.