Pecahkan Rekod Saya – Cabar G. Shanti
16 August 2017

Bekas ratu pecut negara, G. Shanti mahu atlet olahraga Sukan SEA 2017 memecahkan rekod yang dipegang beliau dalam acara 100 meter dan 200 meter. Baginya rekod 24 dan 19 tahun itu sudah terlalu lama dan seharusnya mampu dileburkan dengan pencapaian baru di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Dengan kecanggihan teknologi moden zaman sekarang, beliau optimis atlet olahraga mampu merealisasikan misi tersebut.

“Kemudahan untuk atlet pada zaman saya tidak sehebat sekarang. Kami dulu duduk di asrama yang hanya berbumbungkan zink. Cuba bayangkan keadaanya pada ketika cuaca panas, memang berpeluh, tak boleh tidur. Tetapi semua kepayahan itu tidak pernah membunuh semangat saya untuk mewakili negara,” kata Shanti. 

Beliau yang membuat latihan di bawah jurulatih olahraga kebangsaan, Harun Rashid ketika itu langsung tidak kisah dan sanggup menaiki bas mini dari Pusat Latihan Polis di Jalan Semarak untuk ke Stadium Jalan Raja Muda, Kampung Baru. 

Anak jati Kuala Kangsar, Perak ini bukanlah satu nama asing. Shanti yang juga pemegang rekod kebangsaan 100 meter dan 200 meter kembali beraksi buat skuad negara pada 1996 selepas berkahwin dengan seorang pegawai Bank, R. Kannan. 

Kehadiran semulanya itu membuahkan hasil apabila berjaya menjuarai acara 100 dan 200 meter, Sukan SEA di Jakarta pada tahun berikutnya. Malah, Shanti berkata kenangan kembali berdiri di podium bagi menyanyikan lagu Negaraku itu antara detik paling manis yang tak dapat dilupakannya.