Perkampungan Keris Kampung Ladang Titian
20 January 2018

keris 1_0.jpg

“Nak buat kerja ni mesti ada minat, kalau tak memang tak jadilah.

“Saya generasi ketiga. Dulu tok ki (datuk) dan ayah yang buat. Dulu orang kampung sini semua buat belaka, jiran-jiran semua buat (pembuat sarung dan hulu keris), sebab tu jadi nama Perkampungan Keris,” kata Zulkifli Yusoff yang lebih mesra disapa Cik El, sewaktu ditemui di Perkampungan Keris di Kampung Ladang Titian, di bandar Kuala Terengganu. 

Rancak menjawab pertanyaan dalam dialek Terengganu, Cik El, 51, berkata niat meneruskan legasi peninggalan keluarga adalah kerana rasa cinta terhadap kesenian dan warisan Melayu serta menyebabkan beliau setia dengan kerjaya itu.

Sebuah bengkel khas yang terletak berhampiran kediamannya dijadikan markas kerja sepenuh masa dan menjadi punca rezeki bersama adiknya Mohd Ghazali Mohamad atau lebih dikenali sebagai Pok, 32, yang tekun menyiapkan ukiran ‘anak ayam teleng’ untuk hulu keris.

 “Sambutan sehingga hari ni Alhamdulillah, boleh kata tak pernah tak ada kerja, sentiasa ada (permintaan). Pendek kata buat kerja sampai ‘muntoh’ (banyak kerja).

“Selain pelanggan dari Terengganu dan negeri lain, ada juga pelancong dari luar negara yang dibawa oleh pemandu pelancong. Biasanya ada tiga kategori mereka ini iaitu yang menempah sarung (termasuklah hulu keris), ada yang minat ‘saje-saje’ nak simpan keris, penjual keris dan yang terlibat dengan seni persilatan,” katanya.

Terdapat beberapa jenis kayu yang sesuai dan biasa digunakan untuk membuat sarung dan hulu keris, bergantung kepada kehendak pelanggan.

“Jika pelanggan nak kayu molek (elok), dia boleh bawa kayu dia… kalau tak, boleh guna kayu kita. Antara kayu yang biasa digunakan ialah kayu kemuning, rebang dan sena sebab ia mempunyai banyak fungsi.

Peralatan tradisional masih digunakan dalam menghasilkan sarung keris. Ia termasuklah tukul yang dibuat daripada tanduk kerbau dan beliung iaitu sejenis alat pertukangan kayu untuk membentuk, menarah dan melicinkan permukaan kayu secara manual.

“Lepas tebang pokok, kita akan guna beliung untuk tarah atau bersihkan permukaan kasar kayu. Kemudian, kita akan tengok saiz bilah keris untuk dipadankan dengan sarung dan dipadankan pula dengan hulunya.

“Selepas dah tentukan saiz, baru kita akan potong kayu guna gergaji dan tarah serta kikis untuk haluskan permukaannya dengan kertas pasir. Selepas itu, baru kita gunakan semburan ‘clear’ dan ukir. Proses terakhir adalah melakukan ‘finishing’ supaya tahan lama dan tidak pecah,” jelasnya sambil menambah proses sama turut dilakukan bagi menghasilkan hulu keris.

Motif ukiran sarung keris pula bergantung kepada kehendak pelanggan yang biasanya merangkumi motif bunga kemuning dan awan larak. Manakala untuk hulu keris, ukiran anak ayam teleng, jawa demang, tapak kuda dan patah tiga antara yang popular.

Harga bagi sarung dan hulu keris yang dihasilkan berbeza mengikut saiz dan motif ukiran. Ia bermula serendah RM50 hingga RM400.

Bagi sarung dan hulu keris antik pula harganya antara RM700 hingga RM800 dan boleh mencecah hingga RM5,000 bergantung jika pelanggan mahu meletakkan sebarang hiasan tambahan seperti perak bagi mencantikkannya lagi.

Bagaimanapun, terbit riak kecewa di wajah dua beradik itu apabila ditanya siapa yang bakal mewarisi kerja-kerja mereka selepas ini.

“Kalau boleh memang saya nak anak mewarisi, tapi tak menjadi dan tak nampak minat tu. Jadi selepas ini tiadalah generasi selepas kami yang akan mewarisi kerja ini.

“Sedih tak sedih tu kita tak tahulah sebab kita pun dah tak ada nanti. Cuma agak ralat dan sayang sekali jika kemahiran ini tak diwarisi,” luah Cik El mengakhiri perbualan.