Raja Sulaman Manik Dunia
11 March 2018

photo_2018-03-11_13-50-072.jpg

Pada Disember 2016, Abdul Majid Abdul Rahman berjaya menyiapkan rantaian manik berwarna-warni yang memaparkan pelbagai motif, termasuk Jalur Gemilang, Menara Berkembar Petronas dan nama-nama negeri seluruh negara. 

Hari ini, lelaki berusia 58 tahun dari Kampung Baru Cherating itu secara rasmi diiktiraf sebagai pemegang rekod dunia dalam penghasilan sulaman manik terpanjang.  

Abdul Majid yang lebih mesra dipanggil Pak Majid Cherating menerima pengiktirafan itu daripada World Record Academy (WRA) selepas menghasilkan sulaman unik menggunakan 500,000 manik pelbagai warna, Februari lalu. 

Pengiktirafan ke atas sulaman manik sepanjang 17.8 meter dan lebar satu meter itu sekaligus menjadikan ia antara pencapaian terbaik peribadinya.

“Pelbagai cabaran dilalui untuk hasilkan sulaman ini dan saya sendiri hampir berputus asa kerana cubaan meletakkan karya ke peringkat antarabangsa menemui kegagalan termasuk, permohonan pernah ditolak oleh penganjur.

“Sedangkan saya sudah habiskan banyak masa, tenaga dan wang untuk projek ini. Setiap malam saya mengambil masa empat jam untuk menyulam. Namun ada kalanya saya buntu dan tidak sihat, serta perlu ada inspirasi supaya proses menyulam berjalan lancar.

“Saya memulakan sulaman manik ini pada 2007 dan kira-kira sembilan tahun selepas itu, karya ini berjaya disiapkan dan mendapat pengiktirafan dalam dan luar negara,” katanya ditemui akhbar New Straits Times, di Kuantan, Pahang. 

Beliau yang berasal dari Besut, Terengganu berkata hasil kerjanya itu menerima sokongan padu keluarga serta Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.