banner-about_0.jpg

July 21st, 2017

SEBANYAK 600 unit Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) akan dibina di tanah seluas 18.6 hektar di Sungai Bari, Setiu, tahun depan.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri, Datuk Sabri Mohd Noor berkata, kira-kira 30 peratus daripada jumlah itu terdiri Rumah Mampu Milik (RMM).

"Kerajaan negeri sudah pun meluluskan pelaksanaan projek ini. Proses pembinaan projek perumahan ini akan mula dilaksanakan tahun hadapan dan buat masa sekarang kerja membersih kawasan sedang giat dilaksanakan.

"Kawasan projek terletak kira-kira satu kilometer dari Bandar Seri Langkap," katanya kepada media selepas merasmikan pembukaan stesen minyak Caltex di Sungai Tong, Setiu, hari ini.

Hadir sama, Pegawai Daerah Setiu, Rosdi Awang.

Sabri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap berkata, permohonan untuk memiliki rumah itu terbuka kepada rakyat Terengganu khususnya penduduk sekitar Langkap.

"Selain RMM terdapat juga rumah teres, sederhana dan rumah murah yang akan dibina di situ.

"Projek kerajaan pusat yang menelan kos hampir RM90 juta ini dijangka boleh siap dalam tempoh tiga tahun," katanya menambah permintaan untuk memiliki rumah di kawasan Langkap amat tinggi.

Katanya, setakat ini PR1MA sudah mendaftar hampir 3,000 permohonan dari seluruh Terengganu.

"Semua pinjaman untuk membeli dan memiliki rumah diuruskan oleh pihak PR1MA," katanya.

Beliau berkata, projek perumahan itu diharap dapat membangunkan kawasan Langkap terutamanya dalam bidang ekonomi, pendidikan dan sebagainya.

“Permohonan rumah PR1MA boleh dibuat melalui dalam talian," katanya.

Share in: