banner-about_0.jpg

January 31st, 2017

“TUAH ayam nampak di ka­ki, tuah ma­nu­sia siapa yang tahu”.

Tahun ayam api dalam kalendar Cina akan mengambil alih 2017 dan ­meninggalkan 2016 iaitu tahun monyet api. Masyarakat Cina ­sememangnya sentiasa mementingkan warisan budaya dan adat resam kerana kemakmuran budaya mencerminkan bangsa.

Keutuhan bangsa Cina adalah kerana nilai-nilai budaya yang ­terus teguh. Kebanyakan orang Cina di Malaysia dikategorikan sebagai penganut agama Buddha atau Taoisme, Konfusianisme, Kristian, Hindu, Islam dan sebagainya dan perayaan Tahun Baharu Cina adalah perayaan budaya bukan perayaan agama.

Saya ingin berkongsi cerita dalam satu video yang memaparkan mengenai ketinggian nilai budaya dalam penggunaan sepasang penyepit makanan dalam masyarakat Cina.

Paparan video itu berkisar tentang kehidupan orang tua yang dipinggirkan oleh anak-anak mereka. Kesepian seorang lelaki tua terubat jua apabila jirannya mempelawa lelaki berkenaan ke rumah untuk makan bersama.

Petikan kata-kata jiran itu amat menyentuh jiwa: “Marilah duduk semeja makan bersama, tiada apa beza pun kerana hanya tambah sepasang penyepit dan satu mang­kuk”.

Kesibukan segelintir ma­sya­rakat Cina pada hari ini ­sehingga tidak pulang ke rumah ibu bapa semasa perayaan dan tidak juga menjemput mereka ke rumah amat dikesali.

Ini lebih dilihat masing-masing hanya ingin melepaskan tanggungjawab mereka. Ada juga anak-anak yang telah berkahwin, seakan-akan lupa jasa ibu bapa mereka dan mementingkan ­keluarga sendiri sahaja.

Tidak kira ibu bapa sebelah suami atau isteri, mereka perlu mengutamakan kedua-duanya dan jika berada di perantauan sepatutnya mereka boleh merancang untuk mengambil ibu bapa untuk merayakan bersama atau sekurang-kurangnya mene­lefon untuk mengucapkan selamat Tahun Baharu Cina.

Masyarakat Cina mempercayai bahawa doa dan restu ibu bapa di Tahun Baharu Cina membawa keberkatan tidak terhingga kepada kemakmuran, tuah dan kemurahan rezeki.

Kebudayaan orang Cina semasa sambutan Tahun Baharu Cina mengajar dan mendidik bahawa pentingnya berkongsi kegembiraan dan kedukaan tanpa mengira pangkat dan darjat.

Duduk semeja sebaiknya meja bulat bermakna muafakat dan tiada bezanya sesama manusia. Semestinya orang tua harus dihormati dan diberi keutamaan untuk makan dahulu dengan yang muda harus menyenduk makanan kepada yang lebih tua. Budaya ­menyapa yang lebih tua untuk makan harus diamalkan tanpa melupakan adat dan resam apabila makan bersama.

Ketika berkumpu duduk semeja inilah masanya untuk berbincang dari hati ke hati dan berkongsi ­cerita apa yang telah berlaku dalam masa setahun.

Namun begitu, kerisauan saya kepada anak-anak muda kini yang lebih gemar membelek telefon pintar mereka semasa makan berbanding berbual sesama keluarga. Melayan mesej di telefon, kata mereka lebih penting serta selain leka bermain game sehingga larut malam.

Renung kembali apa yang lebih penting daripada keluarga sendiri dan kita harus ketepikan semua gajet untuk sementara waktu di hari perayaan terutama semasa makan. Berikan sedikit ruang dan masa dengan memandang wajah keluarga yang disayangi dari hati ke mata apabila berbual.

Jangan asyik membelek te­lefon sehingga lupa adab, adat dan budaya.

Dalam pada itu, budaya pemberian angpau adalah untuk melambangkan kegembiraan, dan restu untuk kehidupan makmur serta untung nasib yang baik sepanjang tahun dari yang tua kepada muda. Jumlah wang angpau yang diberi bukanlah ukuran tetapi keikhlasan dari pemberi kepada penerima adalah ditekankan.

Kam atau limau dalam bahasa Kantonis bermaksud emas. Pemberian limau mandarin itu diibaratkan sebagai pemberian emas. Limau mandarin ­menyerikan sambutan Tahun Baharu Cina dan memberi buah limau mandarin adalah amalan baik yang dipercayai boleh membawa kemakmuran. Jika membawa dua atau empat biji limau mandarin untuk diberikan kepada tuan rumah adalah amalan yang amat mulia ketika perayaan ini.

Memakai baju merah digalakkan kerana warna yang terang seperti merah dika­takan membawa tu­ah. Namun hari ini, anak-­anak muda yang mengikuti arus kemodenan memilih fesyen terkini dan warna yang digemari.

Dalam pada itu, pantang ­larang seperti di hari raya pertama tidak boleh menyapu sampah, tidak membasuh baju, tidak boleh bercakap perkara yang buruk-buruk dan beberapa amalan lain masih lagi diamalkan ketika perayaan ini.

Kad tahun baharu Cina juga masih diterima namun kurang popular lagi. Ramai yang memilih menghantar ucapan melalui telefon pintar sahaja dengan pelbagai mesej dan video. Jadi timbul persoalan masih relevankah penggunaan kad ucapan sebagai pengganti diri atau yang mana menjadi pilihan hati masyarakat kini?

Tiupan perpaduan Tahun Baharu Cina diharapkan terus memberi sinar harapan dalam memakmurkan lagi negara ini.

Marilah sama-sama kita gunakan penyepit untuk menggaul dan makan ‘Yee Sang’ bersama dengan hati yang sepakat.

Kongsi perayaan dan cerminkan semangat perpaduan rakyat 1Malaysia. Harapan kita ­pastinya 2017 akan terus membawa limpahan kemakmuran tuah dan rezeki.

Selamat Tahun Baharu Cina, ‘Xin Nian Kuai Le’, ‘Gong Xi Fa Chai’ dan ‘Kung Hei Fat Choi’. Salam 1Hati.

 

PROFESOR MADYA DR. JESSICA ONG HAI LIAW ialah Pensyarah Kanan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.

Share in: