banner-about_0.jpg

October 6th, 2017

SUBANG: Kerajaan membelanjakan hampir RM13 bilion bagi membantu rakyat memiliki rumah idaman masing-masing dan menyelesaikan pelbagai isu perumahan, kata Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar.

Beliau berkata langkah itu dilaksanakan melalui pelbagai inisiatif termasuk Projek Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) dan Program Perumahan 1Malaysia (PR1MA).

Keperluan Kumpulan B40 dan M40 juga diberikan perhatian sewajarnya apabila kerajaan memperkenalkan antara lain skim sewa beli, MyHome dan MyDeposit, katanya.

Inisiatif membantu peneroka Felda dan Felcra untuk memiliki rumah masing-masing juga dipertimbangkan, katanya ketika merasmikan Sidang Kemuncak Perumahan dan Hartanah Kebangsaan ke-20, di sini, pada Khamis.

"Justeru, penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kerana komitmennya yang berterusan dalam menawarkan penyelesaian kreatif bagi menambah baik isu perumahan kepada rakyat Malaysia," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berharap sektor swasta turut memberi fokus untuk membina lebih banyak rumah mampu milik bagi memenuhi keperluan rakyat.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Noh berkata kerajaan telah mencadangkan kepada Bank Negara untuk melonggarkan terma dan syarat untuk permohonan pinjaman perumahan bagi pembeli kali pertama, terutamanya dalam kalangan Kumpulan B40.

Beliau berkata ia adalah sebahagian cadangan penyelesaian untuk membantu mereka yang mempunyai pendapatan isu rumah bulanan kurang daripada RM3,800 yang berdepan kesukaran mendapatkan pinjaman walaupun bagi hartanah bernilai RM35,000.

"Kita (kementerian) pernah mencadangkan supaya Bank Negara mempertimbangkannya, dan wakil mereka terbuka kepada idea itu. Bagaimanapun, saya difahamkan bahawa Bank Negara perlu mengambil kira kemampuan pemohon untuk membayar balik.

"Saya percaya Bank Negara akan melihat idea itu secara holistik sebelum membuat sebarang keputusan atau rumusan. Namun, saya harap mereka dapat melakukan sesuatu bagi Kumpulan B40 ini untuk memiliki rumah impian mereka," katanya.

Sidang kemuncak dua hari itu yang dianjurkan Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (ASLI) bermula hari ini, akan menilai serta mengkaji cabaran serta peluang yang dihadapi oleh industri, dan kemunculan trend dan keadaan ekonomi yang memberi kesan kepada sektor hartanah.

-- BERNAMA

Share in: