banner-about_0.jpg

August 11th, 2017

KUALA LUMPUR: Temasya Sukan SEA 2017 (KL2017) yang akan membuka tirai secara rasmi pada 19 Ogos ini bukan saja membawa pengertian fizikal, malah turut mengadunkan erti sebenar semangat perpaduan antara semua anggota negara Asia Tenggara (ASEAN).

Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Low Beng Choo berkata, temasya dwitahunan itu disifatkan sebagai ejen penyatuan terbaik dalam usaha menyemai semangat ASEAN di kalangan negara yang mengambil bahagian pada temasya berprestij itu.

"Sukan SEA bukan saja menampilkan sisi fizikal semata-mata, namun ia turut memberi gambaran terhadap semangat bersatu padu yang ditunjukkan bukan saja oleh Malaysia tetapi seluruh Asia Tenggara.

"Setiap negara ada masalahnya tersendiri, jadi Sukan SEA sememangnya amat mustahak kerana kita bersama-sama dalam satu semangat perpaduan dan berkongsi rasa harmoni dalam penganjuran temasya dua tahun sekali ini," katanya ketika ditemui di Wisma MOM, hari ini.

Dalam masa sama, Beng Choo berkata, seandainya Malaysia menjadi juara keseluruhan pada temasya kali ini, kejayaan itu adalah hasil kerjasama daripada buat semua pihak kerana KL2017 adalah projek nasional.

"Saya yakin Malaysia mampu menjadi juara keseluruhan jika kita berjaya merealisasikan impian terbabit, itu adalah pencapaian buat seluruh negara dan bukannya pencapaian peribadi semata-mata.

"Kita sudah pasti tidak akan dapat melaksanakan perkara ini tanpa bantuan dan sokongan semua pihak daripada peringkat yang tertinggi sehinggalah peringkat yang terbawah.

"Seperti yang saya katakan sebelum ini, kita tidak boleh melakukan perkara ini secara berseorangan dan jika Malaysia menjadi juara keseluruhan, kita seharusnya berbangga kerana itu adalah hasil kerjasama semua pihak," katanya.

Share in: