banner-about_0.jpg

July 28th, 2017

KUALA LUMPUR 27 Julai - Meskipun pernah diejek dan digelar peminta sedekah suatu masa dahulu, seorang ibu tunggal di Kampung Kemiri, Sungai Siput Perak kini mampu tersenyum setelah berjaya mengubah nasib keluarganya keluar daripada kepompong kemiskinan.

Sharifah Junaidah Syed Idrus, 47, berkata, bantuan yang diberikan kerajaan menerusi program 1Azam sejak tiga tahun lalu bagaikan 'oksigen' yang telah membolehkan beliau dan anak-anak bernafas lega sehingga kehidupan keluarganya berubah menjadi lebih baik selepas kematian suaminya, Alias Che Soh pada tahun 2000.

Beliau yang kini berpendapatan lima angka, antara 201,814 individu yang mendapat manfaat daripada program itu sejak ia diperkenalkan pada 2009 sehingga Jun tahun ini, menurut catatan rekod Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Berkongsi pengalamannya baru-baru ini, ibu tunggal itu berkata beliau dulu terpaksa naik bas turun bas setiap hari menawarkan khidmat spa dan refleksologi dari rumah ke rumah dan sukar mencari rezeki walaupun RM500 sebulan, hinggakan makan minum anak-anak jadi tidak menentu.

Ibu kepada tiga anak itu bagaimanapun bersyukur, selepas menerima bantuan bernilai lebih RM5,000 menerusi Azam Khidmat di bawah program 1Azam naungan KPWKM, iaitu mendapat khidmat nasihat serta bantuan dua katil berserta peralatan berkaitan bagi tujuan refleksologi, membolehkan beliau membina kehidupan baharu.

Dengan bimbingan pegawai daripada KPWKM dan kursus spa dan refleksologi yang diikuti di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran telah melayakkan beliau menerima Sijil Kemahiran Malaysia sehingga membolehkan beliau memulakan perniagaan spa di rumah sebelum membuka dua kedai spa dan refleksologi di Klebang Restu, Ipoh dan di Subang Permai, Shah Alam, katanya.

Sharifah Junaidah yang juga peserta bagi program pemerkasaan asnaf di bawah Majlis Agama Islam Perak, turut menghasilkan produk skrub badan dan tudung jenamanya sendiri.

Sementara itu, peserta Azam Tani, Mohd. Zumaidi Muda, 48, dari Ajil, Hulu Terengganu pula tidak pernah menyangka kehidupannya akan berubah daripada mengambil upah memotong getah kepada pengusaha bengkel perabot selepas menjadi peserta 1Azam. Mohd. Zumaidi berkata bantuan peralatan membuat perabot bernilai lebih RM9,000 yang diterimanya lima tahun lalu dimanfaatkan sebaiknya untuk mengubah nasib keluarganya.

"Dahulu saya memang susah, nak dapat RM30 sehari pun payah. Saya ambil upah menoreh getah, potong rumput, apa-apa sahaja kerja yang dapat duit, saya akan buat walaupun upahnya tak tinggi demi nak dapat duit.

"Alhamdulillah, sekarang selepas mendapat bimbingan daripada Jabatan Veterinar yang mengendalikan program Azam Tani ini kehidupan saya semakin baik...saya juga dah mempunyai bengkel perabot sendiri, berpendapatan tetap dan dengan pekerjaan saya sekarang, saya turut memberi peluang kepada orang lain untuk bekerja dengan saya," katanya. Mohd Zumaidi kini turut menerima tempahan perabot dari Kuala Lumpur, Johor dan Pahang.

Sharifah Junaidah dan Mohd. Zumaidi kini telah terkeluar daripada senarai e-Kasih, iaitu sistem pangkalan data keluarga miskin yang diwujudkan di peringkat nasional bagi membantu merancang, melaksana dan memantau program kemiskinan.

1Azam yang merangkumi lima program utama iaitu Azam Tani, Azam Niaga, Azam Khidmat, Azam Kerja dan Azam Bandar yang dilaksanakan bagi menjana dan meningkatkan pendapatan golongan yang tersenarai dalam sistem e-Kasih.

Selain daripada memberi bantuan peralatan untuk peserta memulakan perniagaan, 1Azam kini turut memberi tumpuan kepada Program 'Beyond 1Azam' bertujuan memastikan peserta program itu yang sedia ada kekal mapan menerusi peningkatan pendapatan yang konsisten seterusnya beralih kepada usahawan mikro. - BERNAMA 

Share in: