banner-about_0.jpg

October 3rd, 2017

Inisiatif untuk mentransformasikan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di negara ini berupaya meningkatkan daya saing tenaga kerja mahir tempatan serta ekonomi negara.

TVET Malaysia yang dilancarkan di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (Adtec) Shah Alam, Selangor oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini menggariskan beberapa inisiatif untuk mentransformasikan TVET sebagai pilihan utama dalam kerjaya yang cemerlang dalam pendidikan kemahiran negara.

Bertemakan Memperkasa Rakyat Memajukan Negara, ia memacu akses kepada latihan dan pembelajaran sepanjang hayat selari dengan hasrat menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi.

Perlaksanaan penjenamaan TVET Malaysia menjadi pemangkin kepada program pendidikan kemahiran dibawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang melibatkan tujuh kementerian iaitu Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Pendidikan.

Selain itu, Kementerian Kerja Raya, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, serta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Bersempena dengan penjenamaan semula TVET Malaysia pelbagai program turut diadakan antaranya sesi Dialog Transfrormasi Nasional 2050 (TN50) dan Pameran Industri TVET 4.0.

Majlis pelancaran itu turut memberi pengiktirafan kepada 16 Ikon TVET iaitu alumni daripada institusi TVET yang telah berjaya dalam kerjaya dan perniagaan masing-masing.

Majlis itu turut menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara Kementerian Sumber Manusia dengan Universiti Limkokwing, Universiti Teknikal Malaysia Melaka, Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat), Pasukan Gerakan Udara Polis Diraja Malaysia dan Johor Skills Sdn. Bhd.

Selain itu, MoU itu turut melibatkan Penang Skills Development Centre, Technology Depository Agency Berhad dan Yamatake Engineering Sdn. Bhd.

Sementara itu, Najib ketika berucap merasmikan penjenamaan semula TVET Malaysia berkata, melalui lonjakan pertama, kerajaan akan melatih serta meningkatkan tenaga mahir tempatan secara berterusan dari 28 peratus kepada 35 peratus menjelang 2020 agar ia lebih menjadi kompetitif, berpeluang memiliki pekerjaan dan memperoleh pendapatan lumayan.

“Dibawah lonjakan itu, kerajaan merancang untuk melatih sehingga 300,000 rakyat Malaysia daripada golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) mulai tahun ini hingga 2025 sebagai lonjakan kedua transformasi TVET.

“Menjelang 2030, kerajaan menya­sarkan peratusan pekerja mahir mencapai 45 peratus, memiliki 20,000 tenaga pengajar vokasional dan 4,000 tenaga pakar TVET menjelang 2025,” katanya.

Yang turut hadir, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh dan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Dalam pada itu menerusi lonjakan kedua pula, kata Perdana Menteri akan memperkukuh dan memperhebatkan lagi kerjasama strategik awam-industri. Langkah itu akan membentuk si­nergi ke arah meningkatkan tenaga kerja berkemahiran.

“Kerjasama strategik itu boleh direalisasikan melalui pelbagai bentuk antaranya se­perti industri, menyumbang kepakaran atau mesin, dan peralatan dalam melatih tenaga kerja mahir dalam bidang-bidang tertentu yang amat diperlukan industri,” ujarnya.

Najib menambah, bagi lonjakan ketiga pula kerajaan memberi fokus melahirkan lulusan TVET dalam bidang perniagaan dan teknousahawan dalam mewujudkan peluang pekerjaan tetapi menjadi ikon kepada tenaga kerja tempatan selain berkebolehan bersaing pada peringkat antarabangsa.

Selain itu, Najib berkata, bagi lonjakan keempat pula iaitu me­laksanakan program geran padanan, kerajaan telah memperuntuk RM20 juta dalam Bajet 2017, yang mana peruntukan kewangan diberikan pada nilai yang setara dengan nilai sumbangan diterima daripada pihak industri melibatkan program-program TVET berimpak tinggi.

“Lonjakan kelima menjenamakan institusi TVET melalui TVET Malaysia yang mana menyaksikan kesemua institusi TVET dibawah pelbagai kementerian bekerjasama bagi melatih anak-anak muda untuk menjadi tenaga kerja teknikal yang berkemahiran tinggi,” katanya.

Share in: