banner-about_0.jpg

August 14th, 2017

Pusat Transformasi Bandar (UTC) yang dilancarkan sejak 2012 kini bukan lagi dilihat sebagai ‘jaguh kampung’.

Cerita kejayaan UTC telah mendapat perhatian masyarakat antarabangsa apabila inisiatif yang diilhamkan Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Tun Razak mahu dijadikan rujukan oleh Bank Dunia.

Pendedahan itu dibuat Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah, baru-baru ini, di Kuala Terengganu, Terengganu.

Beliau berkata Bank Dunia juga mahu mengkaji bagaimana ia boleh dilaksanakan bagi meningkatkan kualiti dan kecekapan dalam memenuhi urusan rakyat khususnya di negara-negara membangun.

Tambahnya, banyak negara mahu mengikut jejak langkah Malaysia melaksanakan UTC.

 

“Kita turut menerima jemputan khas dari Lesotho untuk memberi taklimat mengenai pelaksanaan konsep UTC dan ini merupakan penghormatan buat negara.

Malaysia merupakan satu-satunya negara yang merintis inisatif menempatkan pelbagai agensi kerajaan dan swasta di bawah satu bumbung melalui perkongsian strategik," katanya.

Sehingga kini, terdapat 14 UTC dan 2 Mini UTC di seluruh negara yang telah berkhidmat untuk jutaan rakyat Malaysia.

 

Terbaharu, UTC Terengganu di Paya Bunga Square yang mula beroperasi pada 27 Jun tahun lalu, telah memberi manfaat kepada lebih setengah juta rakyat di negeri itu, menurut laporan Bernama.

Pengurusnya, Rozmi Muji berkata terdapat 29 agensi kerajaan persekutuan, 20 badan berkanun dan kerajaan negeri serta dua agensi swasta yang dikunjungi 623,319 penduduk hingga Julai lalu.

Antara agensi kerajaan yang mengisi bangunan setinggi empat tingkat dan berkeluasan 81,493 kaki persegi itu ialah Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Imigresen, Klinik 1Malaysia, Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara, Hijrah Consultant, Tabung Haji dan jabatan-jabatan di bawah kerajaan negeri.

“Melihat kepada sambutan daripada rakyat yang mengunjungi UTC, ia membuktikan usaha dan inisiatif Kerajaan Persekutuan bagi menyediakan pelbagai perkhidmatan utama di bawah agensinya dalam satu bumbung adalah sangat berjaya.

“Rakyat dapat berurusan dengan lebih cepat, cekap dan lebih selesa. Bagi mereka yang tidak dapat berurusan di agensi-agensi di dalam UTC pada waktu bekerja, mereka kini boleh melakukannya di luar waktu kerja memandangkan perkhidmatan UTC beroperasi dari pukul 10 pagi hingga pukul 10 malam, setiap hari kecuali hari kelepasan am iaitu hari Jumaat,” katanya.

Share in: