Kisah 1Malaysia

1Malaysia dibina berasaskan Perlembagaan Persekutuan, pelbagai rang undang-undang dan dasar, Rukun Negara, Wawasan 2020, Misi Nasional, serta pandangan kita mengenai perpaduan dan kesaksamaan.

Ia merupakan konsep yang merangkumi idea perpaduan dalam kepelbagaian, dan menekankan kepentingan perpaduan negara tanpa mengira bangsa, latar belakang atau kepercayaan agama demi kesejahteraan semua di masa hadapan. Konsep ini kekal relevan dan penting untuk dihayati seluruh rakyat Malaysia.

Perlembagaan Persekutuan:

1Malaysia terikat kukuh kepada Perlembagaan Persekutuan, undang-undang tertinggi dalam negara. Ia dirangka oleh pemimpin-pemimpin tertinggi tiga masyarakat utama, yang dipimpin oleh Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Sebuah rangka kerja yang berasaskan demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan.

Rukun Negara:

  • Kepercayaan kepada Tuhan
  • Kesetiaan kepada Raja dan Negara
  • Keluhuran Perlembagaan
  • Kedaulatan undang-undang
  • Kesopanan dan kesusilaan

Misi Nasional:

  • Untuk meningkatkan ekonomi dalam rantaian nilai lebih tinggi
  • Meningkatkan keupayaan pengetahuan dan inovasi serta memupuk ‘minda kelas pertama’
  • Menangani masalah ketidakseimbangan sosio-ekonomi yang berterusan secara membina dan produktif
  • Meningkatkan tahap dan kemampanan kualiti hidup
  • Mengukuhkan keupayaan institusi dan pelaksanaan

Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan:

Ini merupakan komitmen berkembar kerajaan di bawah 1Malaysia. Rakyat sentiasa diutamakan dalam semua dasar dan projek yang dilaksanakan oleh Kerajaan. Penekanan juga diberikan terhadap pencapaian dengan berdasarkan penunjuk prestasi utama (KPI) untuk memastikan perancangan dan pelaksanaan projek secara bersepadu dan lancar.

Wawasan 2020:

Wawasan 2020 menetapkan sasaran bagi Malaysia untuk menjadi negara maju dari segi ekonomi, politik, sosial, rohani, psikologi dan budaya

Asas 1Malaysia terletak pada idea, komitmen, moral dan nilai-nilai aspirasi yang membentuk sebuah konsep.

Konsep ini menggariskan kepelbagaian dalam perpaduan dan keterangkuman; ia bermakna menerima dan meraikan perbezaan antara kita, bukan sekadar bertoleransi atau menghormati semata-mata. Dalam perjalanan kita membentuk sebuah negara maju, tiada kumpulan yang akan terpinggir hanya kerana latar belakang mereka. Justeru, keadilan sosial turut dititikberatkan dalam konsep 1Malaysia.

Terdapat lapan nilai aspirasi dan moral yang menghuraikan konsep 1Malaysia seperti yang dijelaskan oleh Perdana Menteri: budaya kecemerlangan, ketabahan, penerimaan, pendidikan, integriti, kebijaksanaan, kerendahan hati dan kesetiaan. Kerajaan kekal komited untuk memastikan kebajikan rakyat diutamakan dalam setiap dasar dan projek yang dilaksanakan dan ini dapat dilihat dalam slogan Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Dapatkan lebih banyak maklumat mengenai nilai-nilai 1Malaysia di sini.