banner-about_0.jpg

Julai 22nd, 2017

KOTA KINABALU: Temuduga Terbuka Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) peringkat negeri Sabah menawarkan sehingga 15,000 peluang pekerjaan sepanjang dua hari program itu yang diadakan di Dewan Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada hari ini dan esok. Ketua Sekretariat SL1M, Norashikin Ismail, berkata jumlah itu berdasarkan permintaan yang menggalakkan daripada majikan yang memerlukan ramai pekerja untuk syarikat mereka. Beliau berkata pada mulanya kira-kira 5,000 peluang pekerjaan ditawarkan dalam program di Sabah, namun ada satu pihak berkuasa wilayah di Johor yang menawarkan sehingga 10,000 kekosongan. "Sehubungan itu, saya berharap belia di negeri ini khususnya lepasan sekolah dan graduan supaya memanfaatkan sepenuhnya program ini," katanya ditemui pada program berkenaan di Dewan Naib Canselor UMS, di sini. Katanya, sambutan setakat jam 2 petang amat menggalakkan dengan kira-kira 6,000 orang mendaftar sejak program berkenaan dibuka pada jam 7 pagi tadi. Beliau berkata, berdasarkan perkembangan itu SL1M yakin kedatangan pengunjung ke program berkenaan boleh mencecah 15,000 orang berbanding sasaran awal 10,000 orang. "Lokasi yang selesa selain ditambah pelbagai aktiviti sepanjang dua hari program ini, iaitu sehingga esok menjadikannya satu acara yang meriah selain membawa manfaat kepada pencari kerja. "Ketika dibuka jam 7 pagi tadi saja sudah lebih 1,000 orang dari seluruh Sabah berbaris untuk mendaftar bagi menyertai temuduga yang ditawarkan majikan sepanjang program ini. "Ini menunjukkan program ini mendapat sambutan yang baik dalam kalangan belia di Sabah, khususnya graduan dan lepasan sekolah," katanya. Katanya, sebanyak 43 syarikat dari seluruh negara mengambil bahagian dalam program kali ini dengan sebanyak 48 kiosk temuduga disediakan kepada majikan. Sebagai tambahan, katanya pihaknya menyelitkan beberapa program sampingan termasuk taklimat kerjaya dan sesi motivasi selain menjemput beberapa artis tempatan seperti Faizal Tahir, Jimmy Palikat, Firman AF dan Kumpulan Zero Maharaja Lawak untuk menghiburkan pengunjung. Selain itu, pelbagai gerai jualan dan trak makanan yang menawarkan pelbagai produk juga dibuka. "Pengunjung juga berpeluang memenangi pelbagai hadiah cabutan bertuah sepanjang dua hari ini termasuk motosikal," katanya.

Share in: