banner-about_0.jpg

March 4th, 2016

Kira-kira 12 tahun lalu sebaik sahaja keputusan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia diumumkan, rakan-rakan berasa amat teruja dan tidak henti-henti membuat perancangan masa hadapan mereka. Sementara saya pula masih terus termangu-mangu, berfikir ke mana hala tuju saya. 

Bagi ayah, belia harus berfikiran jauh dalam membentuk acuan masa hadapan mereka. Bagi menetapkan hala tuju mereka berada di landasan yang tepat, sebuah perancangan jangka masa pendek dan jangka masa panjang perlu ditetapkan.

Beberapa tahun berlalu dan bekerja, saya berpendapat beberapa pilihan boleh dibuat bagi memenuhi perancangan-perancangan ini. Antaranya meneruskan pengajian ke peringkat tertinggi seperti mengambil kursus kemahiran, pengurusan, professional atau bekerja. Dalam menimbang keputusan tersebut, beberapa faktor boleh diambil kira meliputi aspek ekonomi, sosial dan politik.

Contohnya kini, keadaan ekonomi global yang tidak menentu telah memberi kesan kepada negara. Permintaan terhadap bidang telekomunikasi, perisian dan perkakasan dilihat sebagai bidang paling sedikit mengambil pekerja baru sepanjang tahun lalu, menurut laporan Indeks Pekerjaan Monster (MEI) 2015. Ini diikuti industri pengangkutan, perkapalan dan logistik.

Tetapi sektor pemasaran dan bidang perniagaan yang mempunyai ‘niche’ atau bertumpu kepada sesuatu yang khusus masih terus mencatat peningkatan dan permintaan. Permintaan tinggi daripada syarikat-syarikat multinasional dan seumpamanya ini adalah berikutan langkah pengukuhan hubungan dan perkhidmatan mereka dalam Malaysia.     

 

Seterusnya, dalam aspek sosial pula boleh dilihat dari segi keperluan tenaga buruh negara. Menurut statistik dikeluarkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada 2014, jumlah pekerja lelaki dalam bidang profesional seperti peguam, akauntan dan kedoktoran mencatatkan hanya 7.3 peratus berbanding wanita (14.8%). Sementara penglibatan wanita dalam bidang kemahiran pertanian, perikanan dan perhutanan pada 5.2 peratus, bidang pertukangan (4.9%) dan operator loji dan mesin (6.3%) berbanding lelaki yang lebih menguasai bidang-bidang ini. Mungkin ini adalah masanya untuk kita mengubah stigma yang mengatakan lelaki atau wanita hanya boleh bekerja dalam bidang-bidang tertentu! 

 

Kerajaan juga telah menyediakan pelbagai bantuan melalui institusi-institusi kewangan seperti bank-bank, Majlis Amanah Rakyat, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), MyBrain, Program Transformasi Kedai Runcit (TUKAR) dan sebagainya. Ia bukan sahaja terhad kepada golongan pelajar malah untuk mereka yang ingin memulakan perniagaan.

Dari sini, kita sudah boleh mengecilkan sedikit skop pemilihan jurusan atau bidang untuk kita ceburi. Sama ada untuk melibatkan bidang pengajian mahupun terus bekerja dalam industri disebut tadi.

Jadilah belia bijak merebut peluang. Lakukan sedikit kajian latar belakang bidang diingini dan ikuti perkembangan ekonomi negara serta global untuk memperoleh hasil lebih baik. Teruskan berusaha dan jangan pernah berhenti rehat selagi kita mempunyai tulang empat kerat.

Kepada semua penerima keputusan Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia, tahniah saya ucapkan dan Selamat Maju Jaya dalam apa jua bidang diceburi selepas ini.

                                                                                                                                                                

Share in: