banner-about_0.jpg

Mei 4th, 2017

Tiada sistem kesihatan di dunia yang menawarkan caj perkhidmatan kesihatan semurah Malaysia kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dengan hanya bayaran RM1 bagi setiap janji temu dengan doktor di hospital kerajaan kata Najib, ubat-ubatan juga diberikan kepada pesakit secara percuma.

Sementara caj bagi pertemuan dengan doktor pakar hospital kerajaan cuma RM5.

"Tidak ada sistem kesihatan lain di dunia yang menggenakan bayaran yang begini rendah.

"Secara keseluruhannya subsidi kesihatan di Malaysia mencecah 98 peratus, maknanya 98 peratus kos kesihatan bagi setiap pesakit ditanggung oleh kerajaan, cuma satu atau dua peratus sahaja dikenakan bayaran," kata Najib.

Indikasi ini kata Najib sekaligus menjadikan sistem kesihatan Malaysia terbaik dunia.

"Malah kalau kita membuat analisis antara kos dan perkhidmatan yang disedakan saya berani mengatakan sistem kesihatan di Malaysia adalah yang terbaik di dunia," tambah beliau.

Najib dalam pada itu mengakui masih terdapat kekurangan dan cabaran dalam memberikan perkhidmatan kesihatan kepada seluruh rakyat Malaysia terutama usaha membina hospital tambahan beserta doktor pakar disetiap hospital berkenaan.

Walaubagaimanapun ujarnya, kerajaan sentiasa berusaha untuk memujuk doktor-doktor berkhidmat di hospital luar bandar dengan memberi pelbagai insentif.

"Perkara ini sedang kita fikirkan kerana kita mahu hospital-hospital disediakan dengan doktor-doktor pakar yang diperlukan," katanya lagi.

Inisiatif kesihatan turut meliputi pembinaan Klinik 1Malaysia (K1M) yang menawarkan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan dengan kadar bayaran RM1 bagi setiap temu janji.

Selain rawatan ringan seperti batuk dan demam, K1M turut menawarkan rawatan susulan penyakit kronik, rawatan mencuci luka, program saringan HIV serta nasihat dan pendidikan kesihatan.

Sehingga kini, terdapat 196 K1M di seluruh negara dengan bajet kesihatan bagi tahun 2017 sebanyak RM25 bilion sepertimana diumumkan Najib di Dewan Rakyat, tahun lalu.

Share in: