banner-about_0.jpg

Ogos 30th, 2015

Setiap tahun menjelang bulan Ogos hingga September sudah menjadi kelaziman seluruh rakyat Malaysia menyambut Hari Kebangsaan. Pelbagai aktiviti berlangsung bagi mengenang sejarah, perjuangan, kesengsaraan, jasa pahlawan dan kemajuan yang telah dikecapi sama ada dari sudut pembangunan mahupun pendidikan. Pemimpin silih berganti, kemajuan negara tetap dikecapi hasil usaha dan kerjasama semua pihak tanpa terkecuali.

Negeri Sabah dan Sarawak dihuni berbilang suku kaum yang berbeza bahasa, budaya dan agama. Keharmonian yang diwarisi penduduk Sabah dan Sarawak dari sebelum kedatangan British sehinggalah bersama-sama membentuk negara Malaysia masih kekal sehingga ke hari ini; kita sehati sejiwa untuk meneruskan kehidupan dan memastikan pembangunan negara dicapai.

Persefahaman, hormat-menghormati dan mengangkat nilai budaya yang penuh dengan kesopanan dan budi bahasa adalah kunci kepada kejayaan masyarakat Sabah dan Sarawak yang mampu hidup aman dan tenteram. Konsep kesederhanaan atau moderate sudah lama diamalkan di kedua-dua negeri ini. Maka wajarlah kedua-dua negeri ini dicontohi dan budayanya disebarkan ke seluruh negara dengan harapan keadaan ini diterima pakai dan keamanan dapat dikekalkan. Isu agama tetap dititikberatkan, malah pendekatannya berbeza dan sikap keterbukaan semua pihak menjadikan masyarakat mempunyai persefahaman yang tinggi.

Selain itu juga, sikap ikatan persaudaraan yang kuat dalam kalangan masyarakat di Sabah dan Sarawak juga begitu utuh, sama ada mereka mempunyai pertalian darah secara langsung atau pun tidak, mereka masih boleh bertegur sapa, bergelak ketawa, duduk semeja, malah saling menyokong antara satu sama lain tanpa mengira latar belakang agama, ideologi politik, suku bangsa dan juga pangkat jawatan. Pasar umum atau tamu merupakan contoh warisan masyarakat di kedua negeri ini bersosial disamping meningkatkan taraf ekonomi. Generasi muda bukan sahaja dapat melihat suasana ini malah dapat merasai keselesaan berinteraksi dalam masyarakat yang mengamalkan nilai-nilai seperti ini. Sabah dan Sarawak hanya perlukan kemudahan yang dinaiktaraf dan bukannya pembangunan yang boleh menjejaskan ekosistem dan kehidupan masyarakat kampung. Jaringan jalan raya, system pengangkutan, taraf pendidikan, kawalan keselamatan dan perubatan amat diperlukan. Generasi muda akan datang bukan sahaja perlu digesa untuk meningkatkan kemahiran dan ilmu pengetahuan malah warisan nilai-nilai yang diamalkan ini juga hendaklah diteruskan.

Apa juga kemajuan yang dicapai di negara ini, tanpa perpaduan, persefahaman dan nilai adab sopan maka Malaysia akan kehilangan ciri yang selama ini menunjangi kekuatan dalam negara ini sehingga pemimpin-pemimpin terdahulu sehingga sekarang mampu bertahan. Mungkin ada di antara kita mampu berbangga dengan pencapaian yang telah dikecapi oleh negara luar tetapi kita lupa bahawa setelah sekian lama kita belum sehabis mungkin menggunakan sepenuh kelebihan yang kita ada di negara ini sebagai kekuatan dan keunikan Malaysia tersendiri.

Akhir sekali, negeri Sabah dan Sarawak akan terus sehati dan sejiwa dalam menghadapi apa juga rintangan bersama-sama dengan saudara-saudara yang berada di semenanjung. Sebagai rakyat Malaysia yang merdeka jiwa dan mindanya kita kini berada di landasan yang menuntut kita untuk menggandakan usaha dan tenaga seiring dengan perubahan dan cabaran semasa.

Share in: