banner-about_0.jpg

September 21st, 2017

Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) bakal berwajah baharu dengan penambahbaikan yang dilakukan sebelum kerajaan melancarkan KR1M 2.0 pada tahun ini juga.

Sejak Isnin lalu, 185 KR1M di seluruh negara ditutup secara berperingkat bagi memberi peluang kerajaan membuat beberapa proses penambahbaikan kepada premis-premis tersebut. Penutupan premis-premis KR1M ini telah menimbulkan kontroversi dalam kalangan rakyat dan mengakibatkan pelbagai spekulasi mula tersebar.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Hamzah Zainuddin menasihati rakyat agar tidak perlu gusar kerana penutupan itu hanya berbentuk sementara. Dalam kenyataan media yang dikeluarkan semalam, Datuk Seri Hamzah turut berkata bahawa butiran tentang KR1M 2.0 akan diumumkan dalam masa terdekat dan ia merupakan sebahagian daripada komitmen Kerajaan untuk menambah baik dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada orang ramai.

KR1M 2.0 yang bakal tampil dengan imej lebih segar akan membolehkan rakyat mendapat lebih banyak pilihan produk pada harga 30 hingga 50 peratus lebih murah daripada pasaran.

KR1M 2.0 tidak akan tersasar daripada tujuan asalnya iaitu menyediakan kemudahan untuk rakyat serta membantu mengurangkan beban kos sara hidup. Malahan, dengan penambaikan ini rakyat daripada pelbagai lapisan akan mendapat lebih banyak manfaat.

Sebagai contoh, KR1M 2.0 juga bakal membuka lebih banyak peluang perniagaan kepada pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan memasarkan produk mereka di kesemua cawangan kedai tersebut di seluruh negara.

Ini membuktikan inisiatif terbaharu daripada Kerajaan ini bersifat inklusif kepada rakyat pelbagai latar belakang.

Share in: