banner-about_0.jpg

Julai 6th, 2017

KEBOLEHANNYA bertutur dalam bahasa Mandarin membuatkan dirinya dikenali dan disenangi ramai kalangan masyarakat Cina setempat.

Othman Md Isa, 65 atau lebih mesra dipanggil Pak Kob berkata, dia tidak pernah menyertai kelas bahasa untuk menguasai bahasa itu, sebaliknya secara spontan belajar bersama rakan-rakan.

“Saya boleh cakap Mandarin sejak umur 20 tahun. Boleh bercakap pun sebab dok dengar kawan-kawan bersembang dalam bahasa Cina,” katanya ketika ditemui di warung miliknya di Taman Guru, Yan.

Katanya, pada mulanya dia hanya mendengar perbualan rakan-rakan berbangsa Cina yang datang makan di warung miliknya dan secara suka-suka mula mengikuti percakapan mereka.

“Bila selalu dok dengar depa bercakap saya pun jadi sebati. Saya pun boleh bercakap dengan baik,” katanya.

Bapa kepada lima orang anak ini berkata, bahasa Mandarin mempunyai tarikan yang tersendiri.

“Bunyi nada bahasa ini sangat menarik kerana depa cakap cepat dan laju. Apa pun perlu ada minat, kalau nak belajar bahasa asing. Lepas tu kalau nak pandai kena selalu bercakap kalau tidak cepat lupa,” katanya.

Tambahnya, apabila dapat menguasai bahasa asing ini, ia memberi banyak kelebihan kerana dapat menjalin hubungan yang lebih baik dengan mereka.

“Saya ada ramai kawan baik masyarakat Cina. Depa pun ramai yang mai makan kat warung yang saya buka di sini,” ujarnya.

Othman berkata, semangat perpaduan dalam kalangan mereka memang tidak dapat disangkal lagi.

“Kami selalu duduk bersama dan berbincang macam-macam benda. Kadang-kadang kami berkongsi masalah dan cuba selesaikan bersama,” katanya.

Menurutnya, keluarganya turut mengagumi kebolehannya bertutur dalam bahasa Mandarin.

“Depa cukup seronok tengok saya boleh cakap bahasa Cina tapi tak seorang pun cuba untuk belajar, mungkin kurang minat,” katanya.

Rakan baik Othman, Ng Eng Lin, 55, berkata, dia sudah lama mengenali Othman dan selesa berkawan dengannya.

“Saya suka ada kawan macam Othman. Dia boleh bercakap Mandarin. Dulu susah juga nak ajar dia bercakap tetapi sebab kami selalu bersama, lama lama dia boleh bercakap dengan baik macam la ni,” katanya.

Eng Lin berkata, dia kerap menjamu selera di warung Othman dan suka berkongsi cerita dengan rakannya itu.

Rakan-rakan Othman sangat menghormati dirinya walaupun berlainan bangsa dan agama.

Menurut Eng Lin, perbezaan antara mereka turut merapatkan hubungan dengan rakan-rakan lain.

“Apabila hidup dalam masyarakat berbilang kaum, setiap orang kena faham satu sama lain. Kita jangan cari masalah dengan sesiapa, pasti hidup kita lebih harmoni. Hormat antara satu sama lain, pasti bahagia,” katanya.

Share in: