banner-about_0.jpg

April 20th, 2016

GEORGETOWN - Pelan pembangunan projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Bhd adalah seiring dengn garis panduan perancangan kerajaan Pulau Pinang.

Dalam satu kenyataan hari ini, PR1MA berkata, ia mempunyai pembangunan kediaman bertanah dan bangunan tinggi di negeri ini dan semua rumah itu berharga purata 20 peratus di bawah harga pasaran di kawasan sekitar.

"Sebahagian daripada projek itu telah diserahkan kepada kerajaan negeri dan lebih banyak lagi akan diserahkan sebagai sebahagian daripada proses kelulusan yang diperlukan. Kami akan tunggu komen kerajaan negeri sebelum membuat sebarang pelarasan yang perlu," katanya.

Setakat ini, PR1MA berkata, anggota perbadanannya telah meluluskan 246,410 unit merangkumi 212 projek yang akan dibina di seluruh negara, 84,132 unit daripadanya berada di pelbagai peringkat pembinaan.

"Sebanyak 20,306 unit daripada 246,410 unit itu dibina di Pulau Pinang dan lebih banyak lagi akan diperuntukkan," katanya.

PR1MA berkata, menurut analisis pangkalan datanya, 91 peratus pendaftar di Pulau Pinang hanya mampu untuk rumah di bawah RM400,000 dan 75 peratus mampu untuk rumah berharga sehingga RM300,000.

Menurutnya, analisis itu juga menunjukkan tujuh peratus atau 88,000 daripada 1.25 juta pendaftar PR1MA adalah dari Pulau Pinang dan terdapat permintaan untuk unit bersaiz lebih besar dalam lingkungan 1,000 hingga 1,200 kaki persegi.

"Oleh itu, PR1MA akan terus mencari lokasi yang sesuai untuk membina lebih banyak rumah di Pulau Pinang berdasarkan permintaan di sesuatu kawasan itu.

"Kami berharap untuk terus mendapat sokongan daripada pemaju hartanah serta kerajaan negeri dan agensinya agar semua projek berjalan lancar.

"Kami mahu mencapai situasi menang-menang kerana keperluan rakyat perlu didahulukan dan menjadi keutamaan kami," katanya.  – Bernama

Share in: