banner-about_0.jpg

March 17th, 2017

Kemahiran latihan insaniah dan latihan di tempat kerja antara kemahiran yang ditekankan dalam Skim Latihan 1Malaysia (SL1M). Melalui pendedahan dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang menawarkan peluang latihan ini, graduan bukan saja dapat meningkatkan kemahiran berkomunikasi malah nilai kebolehgajian mereka.

Bagi Pengarah Program Pembangunan dan Pengurusan Pelajar PETRONAS, Anes Juwita Yahya, latihan insaniah antara komponen penting yang ditekankan di bawah program SL1M-GEES Petronas.

IMG_8628 - Copy (1).jpg

“Untuk tingkatkan kebolehpasaran, kemahiran insaniah perlu dititikberatkan. Kita tahu kemahiran komunikasi itu penting. Jadi untuk program kita yang mengambil masa 8 bulan, kita tekankan pada aspek-aspek ini. Dari segi komunikasi, kemahiran tata rias dan bimbingan mentor.”

“Selain itu, kita juga melatih peserta-peserta SL1M ini berkomunikasi secara berkesan dalam bahasa Inggeris. Bukan saja dari segi penulisan malah perbualan,” katanya lagi.

Menurutnya, hampir 30 peratus daripada pelatih SL1M-GEES Petronas diambil bekerja selepas menjalani latihan di tempat kerja. Walaupun tidak diserap bekerja bersama Petronas, Anes percaya kemahiran-kemahiran ini sekurang-kurangnya dapat digunakan pelatih untuk masa akan datang.

Bagi Nurul Alwanie Rafiee, 28, SL1M adalah batu loncatan buat graduan-graduan yang ingin mendapat peluang pekerjaan yang setaraf dengan kelayakan mereka.

“Saya nak cari pengalaman baru untuk tingkatkan kebolehpasaran diri saya. Saya sebelum ini dari bidang teknologi kreatif dan fesyen tapi saya tak minat. Kalau saya dapat tambah kemahiran dengan pengalaman bekerja tempat lain, apa salahnya.”

Nur Fatihah Iskandar,23, yang bakal menjalani latihan praktikal berkata, SL1M membantunya mendapatkan lebih banyak maklumat dan peluang memahami kemahiran yang diperlukan seorang graduan sebelum menempuhi alam pekerjaan.

“SL1M ini bagus sebab kita boleh tahu apa yang dicari oleh syarikat-syarikat GLC dan apa yang dititikberatkan untuk setiap permohonan.”

Malah bagi Muhammad Nuraiman Zainuddin, graduan dari Management & Science University (MSU), lebih banyak syarikat perlu menyertai program ini.

 

“Graduan lebih mudah mencari pekerjaan di sini. Ada banyak kekosongan. Contohnya, Tenaga Nasional Berhad tawarkan 600 kekosongan jawatan. Tapi kalau boleh, saya harap lebih banyak syarikat yang sertai program ini. Tak kira sama ada syarikat besar atau kecil. Sekarang sudah ramai graduan, jadi kami perlu rebut peluang.”

Program Temu Duga Terbuka SL1M peringkat Zon Tengah telah berjaya menarik perhatian lebih 30,000 graduan untuk mengisi kekosongan jawatan yang ditawarkan oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Pusat Dagangan Dunia Putra, baru-baru ini.

Lebih 25,000 jawatan kosong dan peluang latihan ditawarkan oleh lebih 100 buah GLC sepanjang program dua hari itu di mana temu duga dijalankan secara langsung oleh syarikat-syarikat ini. 

Share in: