banner-about_0.jpg

Julai 24th, 2017

Jalur Gemilang berkibar megah di luar Pusat Konvensyen Dunia di The Hague, Belanda apabila Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengiktiraf Malaysia sebagai agen pembawa perubahan dalam program-program kebolehpasaran graduan, menangani isu seperti pengangguran, kemiskinan dan kekurangan tenaga kerja mahir.

Ketua Sekretariat Skim Latihan 1Malaysia (SL1M), Norashikin Ismail dari Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri telah dilantik untuk mewakili negara membincangkan bagaimana SL1M menyediakan serta mengendalikan peluang-peluang pekerjaan pada 22 dan 23 Jun lalu di Forum Perkhidmatan Awam PBB 2017.

Forum ini merupakan platform buat wakil-wakil kerajaan seluruh dunia berkongsi perancangan strategi dan pendekatan inovatif bagi menggerakkan institusi-institusi awam dan penjawat awam mencapai matlamat pembangunan mampan negara masing-masing. .

Pencapaian SL1M

Sejak dilaksanakan pada 2011, SL1M telah membantu lebih 125,000 graduan untuk meningkatkan kebolehpasaran mereka melalui kemahiran insaniah dan latihan amali yang ditawarkan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sektor swasta.

Menurut Norashikin, delegasi luar di forum itu berbangga dan terkejut apabila mengetahui kerjasama sektor swasta dengan SL1M. Kebanyakan daripada mereka merasakan ia jarang berlaku dan  tidak mudah untuk direalisasikan.

Manfaat kepada graduan dan syarikat

Program Outreach dan Temuduga Terbuka SL1M melibatkan antara 60 hingga 100 GLC dan syarikat-syarikat swasta yang menawarkan ribuan peluang kerja dalam industri berbeza untuk dimohon.

Antara nama-nama besar yang mengambil bahagian adalah Affin Bank Berhad, Axiata Group Berhad (Celcom Axiata Berhad), Boustead Holdings Berhad, CIMB Group Holdings Berhad, Khazanah Nasional Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Malayan Banking Berhad, Malaysia Airlines Berhad, Malaysia Airports Holdings Berhad, Malaysian Resources Corporation Berhad, Permodalan Nasional Berhad, Petronas, Sime Darby Berhad, Telekom Malaysia Berhad, Tenaga Nasional Berhad dan UMW Holdings Berhad.

40% daripada syarikat yang mengambil bahagian dalam SL1M datang daripada industri perkhidmatan, 16% daripada sektor pelaburan dan kewangan manakala 11% lagi daripada sektor logistik dan pengangkutan. Selain itu, ada juga syarikat-syarikat dari sektor pertanian, pembinaan, komunikasi, utiliti serta minyak dan gas.

Syarikat-syarikat ini akan mendapat insentif sekiranya mereka menyertai program SL1M melalui potongan cukai berganda atau insentif HDRF-SL1M bagi membiayai latihan yang diadakan secara dalaman atau umum. SL1M juga adalah salah satu contoh tanggungjawab sosial korporat untuk syarikat-syarikat menambahbaik status ekonomi rakyat Malaysia sambil melatih bakal pemimpin dan tenaga kerja berkemahiran. Melalui cara ini, syarikat bukan saja mendapat akses maklumat pelatih-pelatih SL1M, malah mereka juga dapat menjimatkan kos daripada menggunakan khidmat syarikat perekrutan.

Kerjasama sosial

SL1M telah membantu ribuan graduan secara langsung dan tidak langsung melalui latihan-latihan motivasi, outreach dan kemahiran insaniah yang dijalankan bersama rakan kongsi organisasi. Program kemahiran insaniah ini mampu meningkatkan keyakinan, kecekapan, kemahiran komunikasi, resume dan penampilan profesional.

Dalam siri jelajah yang dijalankan SL1M di seluruh negara, lebih 300 syarikat telah mengambil bahagian dan menerima kehadiran pelajar, graduan serta pencari kerja. Di Kuala Lumpur sahaja lebih 50,000 pemohon hadir sementara di Sarawak dan Kedah masing-masing menerima kehadiran 20,000 dan 25,000 pemohon. Sementara di Sabah lebih 10,000 yang hadir.

“Bagi SL1M Sabah, jika pemohon mendapat tawaran kerja dan perlu berpindah dari kampung halaman untuk bekerja di Semenanjung, mereka boleh menuntut kos berkaitan seperti tiket penerbangan daripada syarikat tempat mereka menjalani latihan atau SL1M sendiri. Pemohon hanya perlu mendapatkan surat pengesahan daripada pihak berkuasa tempatan menyatakan mereka tidak mampu untuk membiayainya sendiri,” kata Norashikin.

Beliau yakin komitmen SL1M ini dapat membantu rakyat Malaysia yang kurang berkemampuan dan bernasib baik untuk memperbaiki kehidupan mereka. Malah katanya, kehadiran graduan-graduan ini di siri jelajah SL1M membuktikan golongan belia serius dan mengambil berat masa hadapan serta kerjaya mereka.

(Artikel ini telah diterjemahkan daripada teks asal)

Share in: