banner-about_0.jpg

September 25th, 2015

Kita sudah biasa melihat individu menghias kereta dengan bermacam-macam gaya. Ada yang menampilkan aksi karakter comel seperti ‘Hello Kitty’ dan tidak kurang juga lebih kepada ‘sporty’.

Tetapi, berlainan pula dengan individu ini yang mana kecenderungannya lebih ke arah patriotisme.

Sunaru Abdul Rahman, 54 yang berasal dari Tenom, Sabah tampil dengan hiasan menggunakan jalur gemilang dan bendera Negeri di Bawah Bayu.

Bukan saja bendera, dia yang menjalankan tugas sebagai mekanik di bengkel kereta di Lokkawi, Sabah turut mengecat sendiri kenderaan miliknya itu.

Tahun ini, Mitsubishi Galant klasik  itu dihiasi dengan 114 unit bendera. Mengkagumkan bukan?

“Memang minat saya menghias kereta tetapi perhiasan bendera bermula pada tahun 2010 sehinggalah sekarang.

“Kalau ikutkan hati, memang nak pasang sepanjang masa tetapi kita mempunyai undang-undang yang perlu dipatuhi,” katanya.

Menurut Sunaru, keretanya dihias setiap tahun bersempena bulan kemerdekaan dan Hari Malaysia supaya dapat menyemarakkan lagi rasa cinta dan sayang kepada negara.

Selain itu, beliau turut berkongsi perasaan gembiranya apabila ramai yang tertarik dengan hasil penat lelahnya itu.

“Saya berasa turut suka dan gembira jika pelancong atau orang lain mengambil gambar,” katanya.

Share in: