banner-about_0.jpg

Julai 14th, 2017

TERIMA KASIH, negaraku Malaysia! Itulah ungka­p­an yang paling wajar dan sesuai diucapkan oleh seluruh rakyat negara tercinta ini kerana diberi ruang dan peluang untuk hidup dan menetap di bumi bertuah yang sungguh unik dan istimewa yang suatu ketika dahulu dikenali sebagai ‘Swarnabumi’ ataupun ‘bumi emas’.

Kita juga bersyukur kerana masih aman dan selamat berbanding dunia luar yang sering bergolak dengan pelbagai ancaman keselamatan dan keganasan.

Bulan Syawal yang baru sahaja menggamit kita menjadi saksi dan bukti yang mendukung ung­kapan terima kasih tersebut. Masyarakat majmuk negara ini sekali lagi menunjukkan bahawa perpaduan dan keharmonian kaum tidaklah seteruk yang digembar-gemburkan.

Buktinya, seperti biasa kita dapat lihat rakyat pelbagai keturunan saling mengunjungi rumah rakan-rakan mereka yang beragama Islam. Ini jelas bahawa sama ada orang politik mahupun rakyat biasa masing-ma­sing boleh melupakan persengketaan di antara mereka dan bersatu atas nama permuafakatan dan kekitaan.

Misalnya, apa lagi yang kita boleh rumuskan apabila melihat ribuan rakyat pelbagai kaum dan agama membanjiri majlis rumah terbuka Perdana Menteri dan jemaah menteri di Seri Perdana kalau bukan itu suatu bukti kuat yang mendukung perpaduan kita selama ini.

Sambutan pera­yaan seperti ini dalam suasana yang cukup meriah wajar dijadikan manifestasi dan legasi yang terus mendasari perpaduan dan kekuat­an negara kita.

Tradisi rumah terbuka, saling mengunjungi dan budaya bermaafan ini sekali lagi membuktikan bahawa kita masih boleh bersatu hati walaupun ada se­dikit perselisihan faham. Kemeriahan perayaan jelas dapat menenggelamkan kemarahan, ketidakpuasan hati dan persengketaan yang wujud.

Warisan inilah yang telah menjadi azimat dan benteng kita selama ini dalam mempertahankan jambatan perpaduan antara kaum, selain da pat menangkis segala prasangka buruk sesama kita.

Gagasan 1Malaysia, Program Transformasi Negara termasuk Transformasi Nasional 2050 (TN50) pasti dapat direalisasikan jika kita terus memupuk budaya sebegini dalam sanubari generasi masa depan.

Semoga kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri dapat diteruskan dan dimantapkan lagi semasa musim perayaan yang lain seperti Tahun Baru Cina, Deepavali, Hari Natal dan sebagainya.

Ternyata masyarakat kita kaya dengan adat dan budaya unik serta istimewa yang wajar diraikan secara bersama dengan hati terbuka. Perlu diingatkan, keunikan ini jugalah menjadi kekuatan dan kebanggaan kita selama ini.

Misalnya, masyarakat dunia melihat kemaj­mukan kita sebagai suatu yang pelik dan mustahil untuk dicapai mahupun dipertahankan tetapi selama ini kita berjaya membuktikan bahawa kita boleh maju dan membangun sebagai satu bangsa dan satu suara.

Hakikatnya bukan mudah untuk mempertahankan warisan turun-temurun ini. Dewasa ini terlalu banyak cabaran dan dugaan yang terpaksa kita tempuhi dalam mempertahankan perpaduan dan keharmonian kaum tersebut.

Ini kerana sudah ada golongan tertentu yang sengaja cuba bermain dengan api.

Mereka mencetuskan pelbagai kontroversi dan juga provokasi membabitkan sentimen perkauman dan juga agama dalam kalangan anggota masyarakat yang berbilang agama dan kaum demi untuk mengejar cita-cita kotor mereka.

Amalan politik perkauman yang melampau serta ketamak­an harta dan kerakusan dalam me­rebut kuasa dan keduduk­an menyebabkan mereka begitu mudah hilang pertimbang­an. Kedangkalan pemikiran jelas menguasai kewarasan akal fikiran mereka.

Kelogikan dan kerasionalan sesuatu perbuatan sudah tidak dipedulikan lagi asalkan mereka mencapai matlamat mereka. Ringkasnya matlamat menghalalkan cara mula menjadi trend yang merisaukan semua pihak.

Lantaran itu juga kontrak sosial yang kita meterai, diwarisi dan dipertahankan selama ini sudah mula dipersoalkan malah ada yang cuba untuk merobek­nya tanpa memikirkan kesan dan akibat yang bakal menimpa.

Mungkin golongan ini juga sudah lupa atau buat-buat lupa tentang peristiwa berdarah 16 Mei 1969. Sedarlah bahawa tidak mungkin kita mampu berhadapan dengan detik hitam seperti itu lagi.

Harus diingatkan, kita merdeka, kita maju dan terkenal serta aman dan makmur selama ini kerana kita berjaya memelihara keunikan persefahaman antara pelbagai kaum yang ada.

Kita juga bangga dengan tradisi yang kita amalkan selama ini tanpa mengganggu-gugat amalan dan tradisi kaum lain.

Semuanya kera­na warga bumi bertuah ini saling memahami dan bertolak-ansur di antara satu sama lain.

Justeru kita wajar berterima kasih atas keunikan yang telah negara ini anugerahkan kepada kita. Percayalah tidak semua negara memiliki keunikan seperti kita. Realitinya kita adalah insan terpilih yang diberi peluang untuk menikmatinya.

Justeru sebagai tanda syu­kur dan berterima kasih sebagai rakyat Malaysia marilah kita berkongsi bersama kenikmatan ini agar dapat terus dipertahan dan dipelihara sehingga ke anak cucu kita. Usahlah kita derhaka kepada ibu pertiwi ini.

Jangan juga melukai hati-hati para pejuang kemerdekaan yang telah meletakkan batu asas yang kukuh kepada generasi pasca merdeka untuk terus menjadi sebuah bangsa merdeka yang hebat.

Sempena Syawal marilah kita terus suburkan budaya kunjung mengunjung dan saling bermaafan agar tali silaturahim sesama kita dapat dipereratkan lagi. Insaflah betapa kita perlu mensyukuri segala nikmat yang telah dipinjamkan kepada kita selama ini dan untuk itu ayuh ucapkanlah; Terima Kasih Malaysia!

PENULIS ialah Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM)

Share in: